Industri sukan bukan sahaja berkaitan dengan industri pembuatan produk berkaitan sukan semata-mata tetapi turut melibatkan pelbagai komponen lain termasuklah perkhidmatan, perubatan, sains sukan, pelancongan dan lain-lain yang berteraskan atlet, masyarakat dan aktiviti sukan itu sendiri di mana sasaran utama adalah untuk menjana keuntungan.

Di Amerika Syarikat (AS), industri sukan adalah antara industri terbesar dan paling pesat membangun. Satu kajian oleh Sports Business Journal melaporkan bahawa nilai industri sukan di AS pada 2008 sahaja bernilai AS$213 bilion iaitu lebih dua kali ganda daripada industri kenderaan dan tujuh kali ganda lebih besar daripada industri perfileman!

Hakikatnya, penganjuran sukan berprestij mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sesebuah negara. Namun Malaysia dilihat masih tidak mempunyai sebarang data khusus yang boleh menentukan nilai sebenar industri sukan biarpun pelbagai acara sukan bertaraf dunia telah diadakan di negara ini.

Berdasarkan beberapa kejayaan penganjuran sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel XVI 1998, Perlumbaan Formula Satu Petronas Malaysian GP, Perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia, Monsoon Cup, Le Tour de Langkawi dan Formula Future, Malaysia sebenarnya mampu membangunkan sukan sebagai satu industri terbesar seperti mana AS.

Melihat kepada potensi itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Pelan Strategik KBS 2010-2015 telah meletakkan industri sukan sebagai teras strategik kelima kementerian yang mana pembangunan industri sukan sebagai penjana ekonomi negara, dan berikut adalah langkah pelaksanaannya:

* Menggalakkan badan-badan sukan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta mewujudkan persekitaran sesuai bagi pembangunan industri sukan;

* Mempertingkatkan pengeluaran produk dan perkhidmatan sukan untuk penggunaan tempatan dan eksport;

* Meningkatkan pembangunan dan penyelidikan yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan sukan melalui penyediaan insentif yang sesuai;

* Mempertingkatkan pemasaran dan promosi produk dan perkhidmatan sukan tempatan dan;

* Mempertingkatkan pelancongan sukan melalui lebih banyak penganjuran acara di peringkat antarabangsa

Diharapkan industri sukan Malaysia dapat menyumbang pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam KDNK dan mampu meningkatkan Gross National Income selaras dengan Model Ekonomi Baharu (MEB).

MUHAMMAD 
ANNUAR AHMAD

Universiti Sains Islam Malaysia