Berdasarkan kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini, sebanyak 25 daripada 100 negara telah bersedia untuk mendapat manfaat daripada IR 4.0. Untungnya, Malaysia adalah salah satu daripada negara tersebut.

Persoalannya, adakah bidang sukan di Malaysia dapat menyesuaikan diri dan bersedia untuk menggunakan segala teknologi yang dikaitkan dengan IR 4.0? Antara persoalan yang perlu dijawab, adakah IR 4.0 akan bersifat mengganggu (disruptive) kepada bidang sukan?

IR 4.0 tidak akan mengganggu, sekiranya pihak berkaitan melakukan perubahan terhadap bidang sukan bagi membolehkannya bersedia menghadapi pengurangan jumlah dan perubahan tugas pengadil.

Sukan badminton yang mempunyai bilangan pengadil lebih ramai daripada pemain, akan menerima kesan daripada pengenalan teknologi robot dan automasi. Penggunaan sistem Hawk-Eye bagi mengesan sama ada bulu tangkis berada di dalam atau luar garisan, akan mengambil alih peranan pengadil garisan pada masa akan datang, sekiranya digunakan secara meluas.

Alasan bagi mengelakkan kesilapan manusia boleh menjadi faktor pendesak kepada penggunaan teknologi ini secara menyeluruh.

Selain itu, latihan dan strategi pemain serta pasukan dalam menghadapi perlawanan juga wajar menggunakan teknologi IR 4.0. Atlet sukan antarabangsa telah mula menggunakan analisis data besar bagi meningkatkan peluang untuk mengatasi lawan.

Sebagai contoh, pasukan bola sepak kebangsaan Jerman telah memenangi Piala Dunia 2014 hasil daripada kerjasama mereka dengan syarikat perisian SAP dalam menganalisis pergerakan atlet, sejarah kecenderungan sikap dalam perlawanan dan kesan perubahan cuaca serta tempoh perlawanan terhadap prestasi ahli sukan.

Dalam pada itu, IR 4.0 perlu digunakan sepenuhnya bagi menyediakan kemahiran sampingan kepada atlet khususnya yang mendapat didikan di sekolah sukan bagi membolehkan mereka meraih pendapatan sekiranya tidak lagi menjadi ahli sukan profesional.

Para atlet bukan sahaja perlu didedahkan dengan ilmu akademik sebaliknya turut dilatih dengan pengetahuan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mempunyai kaitan rapat dengan IR 4.0 bagi membolehkan mereka terus meraih pendapatan setelah bersara.

Perubahan dalam sukan akibat IR 4.0 tidak dapat dielak. Ia adalah gangguan yang diperlukan bagi menggerakkan kita semua untuk melakukan pembaharuan dalam bidang sukan. Reformasi dalam bidang sukan amat diperlukan supaya atlet Malaysia mampu memberi saingan sengit di peringkat antarabangsa.

SAIFUL EZANE MAZLAN

Institut Tadbiran Awam Negara (Intan)