Langkah mengadakan forum itu memang tepat pada masanya sebagai menghargai jasa pakar ekonomi dari Norway, Tan Sri Just Faaland. Mendiang ialah antara individu penting yang terlibat merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah banyak memberi manfaat kepada golongan bumiputera.

Banyak idea baharu yang dicetuskan semasa forum berkenaan dan satu cadangan menarik yang ingin saya ulas adalah daripada seorang ahli panel yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Mahkota, Tan Sri Dr. Kamal Salih.

Beliau mencadangkan supaya DEB atau New Economic Policy (NEP) dalam bahasa Inggeris diterjemahkan sebagai Now Economy Payback supaya dapat mengatasi isu golongan kaya dan profesional Melayu yang malu mengaku mendapat manfaat daripada dasar terbabit.

Bukan sahaja malu mengaku mereka adalah produk daripada dasar itu, malah terdapat dalam kalangan golongan berkenaan yang secara terbuka menentang elemen yang terkandung dalam DEB dimasukkan dalam dasar-dasar lain selepas itu.

Kekayaan yang dikaut mereka hanya digunakan untuk diri sendiri dan keluarga masing-masing serta tidak disumbang balik untuk membantu golongan bumiputera lain yang masih berada dalam kemiskinan.

Isu sama pernah dibangkitkan Faaland dalam bukunya bertajuk Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu yang diterbitkan pada 1991.

Beliau menulis: “Sesetengah Melayu liberal yang berpengaruh lebih suka DEB dibubarkan dan digantikan dengan satu dasar lain yang lebih memfokuskan kepada pertumbuhan (ekonomi negara).”

Oleh itu, saya berharap cadangan Kamal ini dilihat secara serius oleh semua pihak yang mendapat manfaat daripada DEB. Mereka sepatutnya mula mengambil langkah untuk membayar balik faedah yang diterima daripada dasar itu untuk pembangunan komuniti.

Kalau mereka mempunyai syarikat-syarikat besar, apa salahnya mengutamakan golongan bumiputera untuk bekerja di situ. Kenapa berasa malu untuk mempunyai semangat kemelayuan jika pemilik syarikat swasta bukan Melayu tidak berasa bersalah pun untuk meminggirkan golongan bumiputera dengan pelbagai alasan.

Antara alasan yang tidak boleh diterima sama sekali termasuk Melayu pemalas dan tidak mahir bertutur bahasa Mandarin.

Saya juga berharap orang Melayu yang menerima manfaat daripada DEB menceritakan kepada anak-anak mereka faedah besar dasar itu.

Ini kerana terdapat dalam kalangan belia Melayu liberal yang cukup kuat menentang DEB kerana mereka tidak mengetahui kesusahan dilalui oleh ibu bapa di kampung pada satu ketika dahulu untuk menimba ilmu dalam serba kekurangan yang akhirnya dapat diringankan dengan adanya dasar khusus untuk membantu mereka.

Kalau golongan berkenaan menjadi ahli politik dan penjawat awam, mereka janganlah berasa malu untuk bercakap tentang agenda Melayu.

Memang betul mereka sudah kaya-raya dan tidak memerlukan ‘tongkat’ lagi, tetapi ingatlah masih terdapat ramai bumiputera yang memerlukan bantuan dalam situasi ekonomi negara dikuasai bukan Melayu.

ANAK PENEROKA

Trolak, Perak