Mengikut mekanisme subsidi itu, bagi petrol RON95 adalah 30 sen seliter, namun terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Jelas Guan Eng, subsidi itu dijangka bermula pada suku kedua 2019 berjumlah RM2 bilion dan dapat memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal.

Kerajaan memperkenalkan subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500 cc dan ke bawah atau motosikal yang berkapasiti enjin 125 cc ke bawah.

Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta membendung perbezaan harga minyak, kerajaan memutuskan untuk mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

Walau bagaimanapun, menurut penganalisis ekonomi, Dr. Baayah Baba, insentif tersebut dapat membantu khususnya golongan pertengahan dan rendah dalam menjalani kehidupan seharian.

Walaupun ada segelintir masyarakat menyuarakan kritikan berkaitan subsidi minyak petrol RON95 yang banyak membantu golongan berada, kerajaan tidak perlu memandang serius tentang isu ini dan terus utamakan rakyat yang masih memerlukannya.

Pada pandangan saya, Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Parlimen mengenai insentif itu banyak memberi kebaikan kepada rakyat terutama yang menggunakan petrol RON95.

Saya sebagai pelajar yang menggunakan kereta berkapasiti enjin 1,500 cc terasa impaknya dalam perbelanjaan seharian apabila kerajaan memperkenalkan subsidi minyak petrol ini.

SYAZA NADHIRAH 
MOHD. FUZI

Nilai