Dalam Mesyuarat Tindakan Sara Hidup Negara yang pertama kali diadakan baru-baru ini di mana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang telah mempengerusikannya berjanji mengkaji cadangan Kementerian Pengangkutan untuk golongan terbabit.

Untuk memberikan kemudahan kepada semua golongan pekerja terutama kakitangan awam yang terpaksa berulang-alik dari rumah ke pejabat setiap hari, dicadangkan juga konsensi bayaran secara bulanan dengan potongan harga serendah 70 peratus daripada harga asal yang dikenakan.

Ia adalah untuk meringankan bebanan kerana ada antara pekerja ini berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan rel kereta api laju ETS.

Satu perjalanan sehala harga tiket mencecah hampir RM50 dan jika sehari RM100 maka sebulan tambang yang terpaksa ditanggung hampir RM3,000. Itu belum lagi bayaran parkir kenderaan dikenakan KTMB di kawasan tempat letak kereta.

Saya difahamkan jadual ETS seawal pukul 5 pagi bertolak dari stesen Ipoh ke Kuala Lumpur dan begitu juga dari Kuala Lumpur ke Ipoh semata-mata untuk memberikan kemudahan perkhidmatan kepada pekerja.

Diharapkan kerajaan dapat menimbangkan demi untuk kebaikan dan kebajikan pekerja golongan ini.

Bagi warga emas yang berumur lebih daripada 60 tahun ke atas serta orang kurang upaya (OKU) adalah dicadangkan hanya dikenakan tambang 10 peratus.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL

Seremban