Dengan kos hidup tinggi ketika ini, mereka perlu mencari sumber pendapatan lain bagi menampung keperluan hidup.

Ada yang tidak tahu bahawa tanpa modal besar atau memiliki hartanah sendiri masih mampu menjana pendapatan sampingan.

Perniagaan sublet mampu memberi sumber pendapatan sampingan baharu sekiranya individu tahu cara melaksanakannya.

Sublet adalah istilah perniagaan sewa atas sewa rumah atau bilik, di mana hartanah yang kita sewa diberikan sewa pula kepada orang lain.

Ramai akan tertanya, adakah perniagaan ini salah di sisi undang-undang? Asal sahaja kita sebagai penyewa asal, ada perjanjian dan kebenaran bertulis dengan pemilik asal hartanah tersebut ia sudah tidak lagi menjadi satu halangan.

Bagaimana pula keuntungan boleh dijana sedangkan kita sendiri sebagai penyewa perlu membayar sewa? Jawapannya mudah sahaja, misal kata sebuah rumah memiliki empat bilik tidur dan sewa asal ditetapkan tuan rumah adalah RM900.

Apabila kita sebagai subletter memberikan sewa bilik kepada empat penghuni baharu yang mana ketetapan satu bilik berharga RM400, maka ia akan bernilai RM1,600.

Di sini subletter telah mendapat RM700 untung bersih. Cuba bayangkan sekiranya kita memiliki 10 rumah yang dijadikan sublet dengan keuntungan sama, ia sudah mencecah RM7,000 sebulan hanya sebagai pendapatan sampingan sahaja.

Faktor lokasi memainkan peranan untuk lebih senang mendapatkan penyewa seperti berdekatan kawasan industri, institusi pengajian tinggi atau pusat bandar.

Oleh itu, golongan muda boleh menjadikan perniagaan sublet ini sebagai salah satu platform perniagaan pertama anda. Apa yang penting di sini ketekunan kita dalam melakukan sesuatu perkara.

MOHAMAD ABDULLAH
Pensyarah UiTM Cawangan Johor