Ketika ini, pendidikan alam sekitar di sekolah hanya disisipkan dalam subjek-subjek tertentu seperti Sains, Biologi mahupun Geografi yang sememangnya kurang cukup untuk mendidik para pelajar di Malaysia tentang kepentingan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, pada awal Februari 2017, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan hasrat kerajaan untuk memperkenal subjek pendidikan alam sekitar di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) pada masa depan.

Hasrat murni kerajaan ini wajar diberi sokongan penuh memandangkan pendidikan alam sekitar secara formal di sekolah dan universiti ini penting untuk memastikan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk celik ilmu alam sekitar agar dapat meningkatkan kesedaran dan seterusnya bertindak menjaga alam sekitar.

Kewujudan subjek khas berkaitan pendidikan alam sekitar di institusi pendidikan juga diharapkan dapat menjadi batu loncatan untuk mengubah landskap pemikiran rakyat tentang alam sekitar yang sering dianggap remeh oleh segelintir rakyat Malaysia.

Malahan hal ini juga sejajar dengan bab 36 dalam Agenda 21 yang menekankan peri penting pendidikan alam sekitar terutamanya dalam mempromosikan pembangunan lestari. Ini kerana Malaysia sendiri antara negara pendukung Agenda 21 menerusi pelbagai usaha dalam memantapkan pendidikan alam sekitar seperti mengadakan latihan berkaitan pendidikan alam sekitar bersama Denmark dan Jepun.

Sebenarnya, ramai dalam kalangan kita lupa sebenarnya pendidikan alam sekitar tidak hanya tertumpu pada pendidikan secara formal di sekolah mahupun di universiti tetapi juga boleh dilaksanakan secara tidak formal dari rumah melalui ibu bapa.

Justeru, ibu bapa di Malaysia perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak tentang ilmu alam sekitar. Misalnya, mengajar anak-anak untuk mengasingkan sampah, membuang sampah dalam tong sampah, tidak membakar sampah secara terbuka dan tidak membazir kertas.

Perkara sebegini seringkali dianggap remeh oleh segelintir ibu bapa dan acapkali menganggap bahawa anak-anak mereka sudah diberikan pendidikan alam sekitar yang secukupnya di sekolah. Ibu bapa sepatutnya tidak boleh memandang enteng terhadap peranan mereka sebagai pendidik di rumah dengan melepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Sekiranya semua ibu bapa di Malaysia sedar dan menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mendidik anak-anak tentang alam sekitar, nescaya Malaysia akan mempunyai rakyat yang berjiwa dan berperibadi lestari seiring dengan negara lain.

Malahan, bukan sahaja ibu bapa tetapi semua pihak termasuklah jiran tetangga dan rakan taulan perlulah turut berganding bahu dalam memperkasakan pendidikan alam sekitar dalam kehidupan harian.

Ambil contoh mudah, sekiranya kita melihat seseorang membuang sampah secara tidak berhemah, ambillah langkah pertama dengan memberikan teguran dan nasihat secara baik dan bukannya hanya ambil sikap tidak peduli.

Ingatlah, alam sekitar ini bukan milik seorang individu tetapi milik kita bersama. Maka, adalah penting untuk kita sama-sama menjaga dan memuliharanya daripada kerosakan dan kemusnahan kekal untuk kepentingan generasi akan datang.

DR. MOHAMAD SAIFUDIN MOHAMAD SALEH
Universiti Sains Malaysia