Kedudukan itu jatuh empat anak tangga berbanding 170 bulan lalu setelah Malaysia tewas dua kali berturut-turut dengan jaringan 4-1 kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019, sekali gus menyaksikan skuad negara terlepas 13 mata untuk ranking FIFA.

Malaysia sewajarnya mencontohi Thailand dalam melakukan penstrukturan liga yang jauh lebih kompetitif sehingga berjaya menjadi teras utama kebangkitan skuad kebangsaan mereka. Buktinya, kita kerap mendengar nama pasukan mereka seperti Chonburi, Muangthong United dan Buriram beraksi di Liga Juara-Juara Asia.

Perubahan piramid bola sepak Thailand bermula pada 2017 apabila 132 pasukan dibahagikan kepada lima divisyen atau dikenali sebagai League Championship. Liga yang bakal menjadi Divisyen 3 (AIS D2 League) itu akan diturunkan pangkat menjadi Liga Divisyen 4 dan selepas itu akan diperkenalkan Liga Divisyen 5 atau dikenali sebagai League 3 pula.

Tahun 2018 memperlihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tampil dengan penstrukturan hampir sama apabila memperkenalkan Liga Divisyen 4 dan Liga Divisyen Lima sebagai kesinambungan liga bola sepak komuniti dengan liga profesional negara.

Idea dikemukakan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memastikan bola sepak dikembalikan kepada rakyat agar terlibat secara serius dalam mewujudkan skuad bola sepak negara. Struktur ini lebih sistematik dan telah lama dipraktikkan di negara kuasa bola sepak dunia seperti Jerman dan Sepanyol.

Baru-baru ini pasukan Axis-O2, menerusi peluang penyertaan diberikan FMLLP selaku badan penganjur Liga Malaysia telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama liga amatur menempa slot untuk bersaing dalam Piala FA musim hadapan setelah menjuarai Selangor Champion League 2017.

Awal tahun lalu, Asian Football Confederation (AFC) memperkenalkan kaedah pelesenan kelab yang mana persatuan bola sepak negara anggota AFC mengeluarkan lesen tersebut tetapi badan induk Asia itu yang menentukan sama ada sesebuah pasukan itu layak mendapat lesen tersebut.

Lesen berkenaan bermakna pengurusan sedia ada mampu untuk mengurus tadbir, mempunyai sumber kewangan diperlukan dan tiada penyalahgunaan dana serta memastikan pemilik lesen memiliki ciri-ciri sesebuah kelab bola sepak profesional seperti kemudahan, fasiliti, pembangunan akar umbi.

Kaedah itu bukan sahaja membolehkan sesebuah pasukan atau kelab layak beraksi di Liga Juara-Juara AFC, tetapi meningkatkan tahap pengurusan ke arah lebih profesional seperti di Jepun dan Korea Selatan.

Hasil penganjuran liga kompetitif, skuad kebangsaan Jepun dan Korea Selatan kini memiliki skuad kebangsaan mantap dan turut menghasilkan pemain berbakat yang kini bermain di kelab Eropah seperti Okazaki (Leicester City) dan Son Heun-Min (Tottenham Hotspur).

Sementara itu, pengenalan lima pemain import termasuk seorang dari Asia Tenggara dilihat bakal meningkatkan nilai Liga Malaysia di peringkat dunia. Kemasukan pemain import juga dijangka dapat mendorong penajaan daripada pihak luar dan pasukan menerima sekurang-kurangnya RM6 juta atau RM7 juta bagi tempoh setahun seperti digariskan Presiden FAM.

Diharapkan kehadiran pemain import dapat membantu penyerang tempatan dalam meningkatkan mutu dan kekuatan jentera serangan pasukan negara. Kita mahu melihat persaingan sihat merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam kelab supaya pemain tempatan tidak hanya memanaskan bangku simpanan.

Selain itu kita harap penyerapan lebih ramai bakat-bakat muda dalam pasukan utama Liga Super dan Liga Perdana dilakukan secara menyeluruh dan liga tempatan dibangunkan secara global.

MUHAMMAD SHAHRUL NAIM

Nilai, Negeri Sembilan