SEBAHAGIAN kerusi penonton di dalam Stadium Hang Jebat telah tercabut dan hilang. IHSAN PEMBACA

Terdapat banyak sisa makanan dan kulit kuaci bersepah di atas lantai dan di celah-celah kerusi. Selain itu dinding stadium dipenuhi banyak lumut dan lantai yang digenangi air bertakung. Malah, laluan tangga untuk ke tempat duduk terbuka juga sangat gelap kerana tiada lampu.

Bukan itu sahaja, beberapa kemudahan juga dilihat sudah hilang dan rosak. Misalnya kerusi penonton telah dicabut dan hilang serta score board sedia ada gagal berfungsi dengan baik semasa perlawanan sedang berlangsung.

Melihat persekitaran luar stadium juga sangat mengecewakan. Banyak lantainya sudah mendap dan apabila hujan, kawasan terbabit akan dipenuhi air. Teguran juga dibuat agar kawasan landskap di luar stadium juga dapat ditambahbaik.

Masalah yang diutarakan ini bukan baharu berlaku, justeru saya amat berharap kerajaan negeri Melaka, Perbadanan Stadium Melaka atau mana-mana pihak terbabit agar segera mengambil tindakan lanjut.

Apatah lagi Stadium Hang Jebat dijadualkan menjadi tuan rumah untuk kelayakan play off Piala Dunia melibatkan perlawanan antara Syria dan Australia. Dijangkakan ramai penonton dari kedua-dua negara itu datang ke stadium ini untuk menyokong pasukan mereka. Sudah tentu kita tidak mahu orang luar mengkritik stadium ini.

Di kesempatan ini saya mahu menyarankan agar pihak Perbadanan Stadium Melaka dapat menjalin kerjasama dengan pihak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam hal berkaitan kerana umum tahu stadium di Johor adalah antara yang terbaik di Malaysia. Jadi, belajarlah dengan JDT cara-cara untuk menguruskan stadium.

EDY

Cheng, Melaka