Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SPEF bantu orang muda

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI anak muda dan telah bekerja kira-kira tujuh tahun lalu, saya merasa amat gembira apabila kerajaan memperkenalkan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) bagi pembelian projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Mengapa saya berkata demikian? Sebabnya saya melihat usaha itu mampu menjadi jalan penyelesaian kepada golongan muda untuk memiliki sebuah rumah khususnya di kawasan bandar termasuk Kuala Lumpur.

Sememangnya menjadi impian golongan muda seperti saya apatah lagi baru sahaja mendirikan rumah tangga dua tahun lalu untuk memiliki sebuah rumah yang selesa lebih-lebih lagi jika bilangan anggota keluarga semakin bertambah.

Namun disebabkan harga rumah begitu mahal termasuk yang dikategorikan mampu milik saya menjadi lemah semangat untuk meneruskan hasrat membeli sebuah rumah terutama di ibu kota atau pinggir ibu kota. Bahkan jika dicampurkan dengan pendapatan isteri untuk tujuan permohonan pinjaman perumahan, boleh katakan kami masih belum layak.

Sebab apa? Sebabnya harga rumah terlalu mahal. Jika dihantar permohonan ke bank sekalipun, saya percaya permohonan pinjaman kami ini akan ditolak mentah-mentah atas sebab gabungan pendapatan kami masih tidak melayakkan pinjaman perumahan itu dibuat.

Ini jugalah yang berlaku ke atas beberapa rakan saya yang bercita-cita untuk memiliki sebuah rumah yang harganya dalam lingkungan RM300,000. Mereka mencuba tetapi bank tidak meluluskannya atas faktor kelayakan.

Hakikatnya, harga rumah sudah semakin mahal walaupun rumah tersebut dikategorikan sebagai mampu milik. Saya ambil contoh paling mudah iaitu Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip). Rumawip dikategorikan sebagai rumah mampu milik tetapi harga minimum yang ditetapkan adalah RM300,000 seunit.

Harga yang ditawarkan itu masih dianggap agak tinggi dan tidak mungkin orang seperti saya mampu memilikinya. Saya faham penentuan harga itu bukan dibuat sesuka hati sebaliknya berdasarkan kepada lokasi dan pelbagai kos lain.

Begitu juga dengan rumah PR1MA yang sebahagian besar besarnya berharga RM300,000. Inilah harga minimum sebuah rumah di pasaran semasa sekarang. Mahu tidak mahu kita perlu menerima hakikat bahawa tiada rumah yang berharga RM300,000 sekarang ini kecuali di kawasan pedalaman.

Jika kita masih bergantung sistem pinjaman biasa sudah pasti golongan seperti saya tidak mampu memiliki rumah sendiri sampai bila-bila. Sebab utamanya saya tidak layak untuk membuat pinjaman.

Justeru, langkah terbaharu kerajaan itu memberi satu sinar kepada golongan seperti kami untuk memiliki sebuah rumah pertama yang diidam-idamkan. Setakat hari ini saya belum jelas sepenuhnya tentang SPEF tetapi saya yakin permohonan untuk memiliki sebuah rumah PR1MA melalui skim ini akan lebih mudah dan fleksibel.

Cuma saya ingin mengesyorkan skim pinjaman yang diperkenalkan ini menggunakan sepenuhnya sistem kewangan Islam atau patuh syariah dan bukannya berasaskan kepada sistem kewangan konvensional. Saya percaya langkah ini adalah yang terbaik khususnya kepada umat Islam negara ini.

Lagipun, keempat-empat bank yang menjalinkan kerjasama dengan pihak PR1MA iaitu Maybank, CIMB, RHB dan Ambank mempunyai kemudahan untuk menawarkan pinjaman mengikut sistem kewangan Islam.

Bank Negara Malaysia sendiri mempunyai jabatan khusus yang mengendalikan segala berkaitan dengan sistem kewangan Islam dan takaful. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mulai tahun ini juga telah memulakan dana syariah untuk pencarum yang berminat.

Selain itu saya juga ingin mencadangkan jumlah unit rumah PR1MA diperbanyakkan lagi dengan tumpuan di kawasan bandar supaya dapat menampung jumlah permintaan sedia ada lebih-lebih lagi dengan adanya skim pinjaman SPEF.

Berdasarkan laporan akhbar semalam, jumlah pemohon rumah PR1MA mencecah 1.3 juta orang manakala jumlah rumah PR1MA yang dibina hanya 260,188 unit. Jika hendak dibandingkan jumlah pemohon dengan jumlah unit kediaman yang telah diluluskan, jurangnya masih terlalu besar.

Sekali lagi diharapkan pihak PR1MA meningkatkan lagi jumlah pembinaan unit kediaman agar lebih ramai lagi pemohon rumah PR1MA dapat memilikinya termasuk saya dan rakan-rakan yang seangkatan dengan saya.

ZUKI
Shah Alam

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain