Dengan wang baki penutupan akaun itu bolehlah digunakan untuk perbelanjaan susu dan lampin pakai buang. Namun saya dikejutkan dengan prosedur operasi standard (SOP) rumit. Yang agak mengejutkan pegawai terlibat wajib berkomunikasi dengan ibu saya yang ingatannya sudah lemah ditambah lagi dengan masalah pendengaran serta pertuturan akibat minor stroke.

Pegawai wanita yang sopan dan lembut itu menyatakan ujian komunikasi tersebut gagal. Sebagai alternatif saya perlu menyediakan enam dokumen termasuk surat doktor, surat jaminan ganti rugi yang dimeterai setem, surat persetujuan semua waris dan lain-lain untuk mengeluarkan baki akaun hanya berjumlah seribu lebih sahaja.

Itu pun setelah mendapat kelulusan Ibu Pejabat TH di Kuala Lumpur. Alangkah rumitnya sedangkan untuk ke cawangan TH di Ipoh juga sudah besar rahmat kerana terpaksa membawa seorang ibu yang terlantar dan uzur.

Pegawai memaklumkan jika pendeposit sudah meninggal dunia, urusan lebih mudah kerana saya sebagai penama dan hanya perlu membawa surat perakuan kematian dan kad pengenalan diri. Bayangkan jika mereka yang benar-benar terdesak memerlukan wang dan hanya mengharapkan simpanan TH sudah tentu kecewa dengan prosedur yang ditetapkan ini.

Mohon pihak atasan TH boleh menilai semula SOP yang lebih mesra pelanggan seperti sebuah bank yang telah saya berurusan yang hampir sama pada hari sebelumnya.

MOHD. RISAL OSMAN

Ipoh