Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd. Noor berkata, setiap perwakilan perlu yakin bahawa akhbar itu adalah wadah utama penyebaran maklumat dan bukan sahaja sebagai aset parti semata-mata.

Menurutnya, adalah perlu bagi Pemuda UMNO untuk terus membeli Utusan Malaysia memandangkan surat khabar itu adalah aset terakhir yang UMNO ada.

“Siapa lagi ingin menaikkan aset kita kalau bukan kita sendiri?” ujarnya ketika sesi perbahasan Pemuda UMNO ketika sesi Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Saya menyokong penuh perkara itu dihayati oleh lebih 3 juta ahli UMNO di seluruh negara. Sebelum ini, ramai antara mereka tidak begitu prihatin langsung mengenainya kerana ramai yang sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Bila ramai pemimpin UMNO yang bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya lalu kalah, pelbagai idea baharu timbul. Sebelum ini, mereka sendiri tidak pernah bertanya pun berapa banyak akhbar Utusan Malaysia dicetak dan dijual setiap hari.

Jika sejuta orang ahli UMNO dapat membeli akhbar Utusan Malaysia setiap hari, itu sudah cukup hebat. Walau apa pun, terpulang kepada ahli UMNO sendiri termasuk Puteri untuk bertindak membeli dan menyelamatkan akhbar keramat orang Melayu itu.

Jika sekadar bercakap sahaja, ia tidak akan sampai ke mana-mana. Untuk pengetahuan semua, masalah tidak baca akhbar ini bukan sahaja melanda ahli UMNO malah turut melibatkan ahli dan penyokong parti politik lain di negara ini. Kata orang, sembang sahaja bergegar-gegar.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah