Adalah penting bahawa kita memberi lebih penekanan terhadap kesan gula berlebihan dalam diet yang boleh memudaratkan kesihatan sejagat.

Sebagaimana cukai dikenakan pada rokok demi kesihatan, harga gula juga sewajarnya dikekalkan atau ditingkatkan atas alasan yang sama.

Sehubungan itu, cadangan kerajaan untuk menurunkan harga gula mungkin akan memberi mesej yang salah kepada pengguna Malaysia.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, jumlah penghidap penyakit diabetes dan obesiti telah meningkat secara mendadak di Malaysia.

Penyakit-penyakit seperti ini berpunca daripada gaya hidup tidak sihat termasuk pengambilan gula secara berlebihan.

Malahan, penyakit diabetes dan obesiti juga boleh meningkatkan risiko seseorang dalam menghidap hypertensi, kolesterol tinggi, gout, penyakit jantung dan strok.

Lebih membimbangkan, kesemua ini menggantikan rokok sebagai pembunuh nombor satu di dunia.

Ini sekaligus akan meningkatkan kos rawatan dan kesihatan.

Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada pihak kerajaan agar lebih serius untuk menggalakkan pengambilan gula secara bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia.

DR. RAJBANS SINGH

Presiden Persatuan 
Nursejahtera, Malaysia