Selain menjadi subjek baharu, pihak kementerian turut mencadangkan agar kanak-kanak prasekolah juga diberi pendedahan mengenai ilmu alam sekitar, dan kertas cadangan mengenai perkara tersebut sedang dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan sebelum dibawa ke Kabinet, pertengahan tahun depan.

Langkah itu diambil berikutan pencemaran alam sekitar di negara ini banyak berpunca daripada tindakan masyarakat sendiri, justeru kesedaran dalam kalangan mereka perlu ditingkatkan bermula di pe­ringkat kanak-kanak lagi.

Usaha itu sekali gus membuktikan kerajaan serius untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai kesedaran mendalam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Di sekolah dan universiti, pendidikan alam sekitar akan diajar secara formal, dan ilmu diterima perlu diamalkan murid mahupun pelajar dengan sokongan ibu bapa terutama dalam melakukan amalan yang menyumbang ke arah ke­sejahteraan alam sekitar.

Sebagai contoh, pendedahan bahawa barangan terpakai mempunyai pelbagai kegunaan apabila dikitar semula seperti bekas sabun pencuci boleh dijadikan tempat menyimpan peralatan atau bekas telur dijadikan hiasan bunga. Amalan sebegini dapat meningkatkan kreativiti anak-anak selain merangsang idea dan fikiran mereka menghasilkan produk baharu.

Mungkin kita merasakan amalan di rumah itu perkara kecil dan tidak memberi impak kepada alam sekitar. Tetapi jika setiap individu membudayakan amalan mesra alam, tidak mustahil kualiti alam sekitar negara akan meningkat apabila isipadu sampah bagi setiap isi rumah dapat dikurangkan.

Sememangnya amat pen­ting memupuk kesedaran menjaga alam sekitar seawal usia anak-anak mula meneroka alam di sekeliling mereka. Setelah dipupuk dengan sifat sedemikian, pendidikan alam sekitar di sekolah juga akan menjadi mudah.

Di Jepun, pemupukan nilai-nilai murni yang bermula di rumah mampu melahirkan masyarakat bertanggungjawab apabila rata-rata pelancong yang melawat negara terbabit mengagumi dengan amalan kebersihan dan penjagaan alam sekitar di negara itu.

Harapan kita agar Malaysia juga mampu menjadi seperti Jepun, berkembang pesat dan menjadi negara maju serta pada masa sama mempunyai etika tinggi dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

NUR ATHIRAH

Universiti Kebangsaan Malaysia