Ada dalam kalangan mereka melempiaskan kritikan terhadap kempen Katakan Tidak Pada Zina atau Say No to Zina oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kritikan mereka bahawa kempen tersebut berdasarkan kepada fahaman agama khususnya Islam sedangkan ia hanyalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam konteks menyeluruh untuk memelihara integriti rakyat negara ini daripada terjebak dalam gejala sosial dan zina, adalah kritikan yang tidak tercapai dek akal.

Tidak cukup dengan itu, mereka mengorak langkah lebih tempang dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap garis panduan pemakaian dengan kerjasama strategik antara Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sumber Manusia yang tertumpu kepada menyelesaikan kemelut diskriminasi yang melanda wanita Muslimah.

Pekerja-pekerja yang terdiri daripada wanita Muslimah berhadapan dengan larangan pemakaian hijab atau pakaian yang menutup aurat dan itu menafikan hak dan kebebasan beragama mereka.

Ia berpunca daripada polisi majikan atau syarikat yang tidak sensitif serta mencabuli hak wanita Muslimah tersebut. Oleh kerana itu, garis panduan tatacara pemakaian ini diperkenalkan.

Peristiwa malang ini bukanlah sesuatu yang asing tetapi membarah dalam sektor pekerjaan swasta. Wakil International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (Wafiq) pada tahun lalu menemui tiga daripada 12 orang pekerja wanita Muslimah yang menderita akibat diskriminasi atas dasar agama ini.

Bahkan larangan berhijab tersebut turut terpakai ke atas semua jabatan dalam organisasi atau syarikat sekiranya bidang kerja mereka melibatkan urusan secara bersemuka dengan pelanggan dan bukan sekadar pekerja di kaunter hadapan.

Tuduhan kumpulan liberal hak asasi wanita termasuk kumpulan yang memperjuangkan golongan transgender menimbulkan seribu tanda tanya.

Pertama sekali, menyifatkan garis panduan itu sebagai menyerupai kod sedikit sebanyak menimbulkan permasalahan kerana sekiranya ia adalah satu garis panduan, maka semua orang termasuklah kaum wanita diberikan pilihan untuk tidak mengikutinya.

Namun sekiranya ia adalah satu kod, satu istilah yang lebih autoritatif, maka ia memberi gambaran bahawa semua orang termasuklah kaum wanita hendaklah mematuhinya.

Walau apapun permasalahan dari segi istilah itu timbul, perkara lebih penting adalah pihak kerajaan telah mengesahkan bahawa garis panduan tersebut adalah tertakluk kepada pilihan pekerja itu sendiri.

Titik tolak garis panduan itu sendiri adalah untuk menangani masalah diskriminasi yang dihadapi oleh wanita Muslimah berhijab dan bertujuan memberikan pilihan serta melindungi hak dan kebebasan beragama mereka.

Ia juga boleh dikategorikan sebagai satu kod kerana ia meletakkan kewajipan ke atas majikan untuk menawarkan pilihan kepada wanita Muslimah dan menjamim hak pekerja untuk berpakaian menutup aurat. Ia tidak sepatutnya menimbulkan sebarang isu dan pertikaian.

Tetapi kumpulan liberal dan hak asasi wanita seakan fobia terhadap istilah ‘kod’, ataupun ‘menghindar’ seperti yang digunakan dalam kempen menolak perbuatan zina.

Menutup aurat adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam ke atas wanita Muslimah. Tetapi mereka tidak menikmati sistem sokongan dalam industri dan bidang pekerjaan, malah mereka dituduh sebagai ekstremis dalam beragama, tidak fleksibel, tidak mematuhi arahan majikan atau tidak liberal.

Oleh yang demikian, garis panduan yang diperkenalkan itu tidak seharusnya menerima tentangan bahkan kumpulan liberal dan hak asasi wanita seharusnya menyokong dengan sepenuh jiwa dan raga.

Sebaliknya, langkah pihak kerajaan untuk mengelak daripada gejala sosial dan penindasan terhadap wanita ini dianggap sebagai memaksa nilai moral dan pengisytiharan perang ke atas mereka.

Melainkan hakikatnya pejuang hak asasi dan liberal itu bersikap selektif dan mempunyai agenda tersendiri.

DANIAL ARIFF SHAARI
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)