Berdasarkan pengalaman serupa putus tunang saat akhir, saya percaya pihak yang ditinggalkan berhak menuntut ganti rugi munasabah khususnya dalam kes Ezrin kerana didakwa pihak perempuan tidak memberi alasan kukuh.

Keluarga saya dahulu cuma mahu nilai tunai cincin pertunangan dikembalikan kerana mahu menjaga hubungan rapat antara kedua-dua keluarga.

Malangnya, mustahil hubungan keluarga kembali seperti biasa selepas anak buat perangai yang menconteng arang di muka ibu bapa.

Sewajarnya mana-mana lelaki atau wanita yang ditinggalkan tunang mereka membuat tuntutan di mahkamah sebagai pengajaran agar tidak mengambil mudah proses ‘membina masjid’.

Wang bukannya faktor utama tindakan saman tetapi melindungi maruah keluarga individu yang ditinggalkan di samping mengambil kira impak emosi terhadap diri dan ibu bapa.

Kepada Ezrin, saya harap dia mendapat ‘penutup’ dalam kisah duka ini dan semoga bertemu jodoh lebih baik kelak, bukan sahaja sebagai pasangan hidup tetapi lebih penting ibu terbaik kepada anak-anak.

BEKAS TUNANG

Kampung Demit, Kelantan.