Gaji Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri cuma sekitar RM20,000 maka tidak munasabah gaji pentadbir GLC yang beliau lantik sampai 30 kali ganda lebih tinggi.

Tambahan pula jika yang dilantik itu adalah dalam kalangan ahli politik atau mempunyai kaitan dengan parti politik dan bukannya mempunyai kelayakan dari segi akademik mahupun pengalaman dalam sektor penglibatan GLC tersebut.

Saya harap Perdana Menteri dapat menghentikan budaya melantik wakil rakyat, ahli politik mahupun mereka yang mempunyai kaitan dengan parti politik dalam mana-mana GLC, agensi kerajaan mahupun badan berkanun.

Jika boleh, laksanakan perkara sama di peringkat kerajaan negeri kepemimpinan Pakatan Harapan supaya tidak ada lagi campur tangan politik atau mengambil kesempatan atas dana awam.

Cukuplah sekadar menteri, timbalan menteri dan pembantu-pembantu khas mereka diambil daripada kalangan orang politik atau ahli parti demi menjaga imej kerajaan baharu.

PENJAWAT AWAM

Putrajaya