Ini membuktikan bahawa perubahan boleh hadir melalui kepercayaan terhadap kuasa mahasiswa serta hak bersuara.

Keduanya, saya terasa amat bangga apabila buat pertama kali pilihan raya kampus ini diatur dan dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri dengan kuasa autonomi yang diberi kepada mereka.

Di sinilah, kita dapat melihat mahasiswa bekerja keras bagi memastikan pilihan raya ini berjalan adil dan bersih.

Tempoh berkempen dilanjutkan dari tiga kepada tujuh hari. Sistem undi turut bertukar daripada e-Undi kepada pengundian kertas.

Dan semestinya perubahan paling signifikan apabila mahasiswa dibenarkan membentuk gabungan politik mahasiswa secara terbuka.

Ini telah membuka ruang mahasiswa menyampaikan objektif serta manifesto perjuangan mereka dengan lebih efektif. Pengalaman seperti ini mampu menjadikan mahasiswa lebih matang dalam kepepimpinan.

Penukaran cara pengendalian pilihan raya kampus yang positif akan mengembalikan keyakinan pilihan raya kampus kepada mahasiswa.

Dengan perubahan ini juga, mahasiswa akhirnya mampu berdikari dalam menentukan corak aktiviti politik yang diingini.

Impian supaya mahasiswa menjadi rakan setara universiti, mempunyai sistem pentadbiran lebih cekap dan telus, serta kebebasan berpersatuan di dalam kampus yang diperjuangkan oleh mahasiswa semakin hampir dengan realiti.

Ini merupakan tsunami perubahan yang dibawa dari Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas. Ini hasil kepercayaan terhadap perubahan.

Perjuangan ini wajib diteruskan supaya lebih banyak pembaharuan dapat dilakukan. Hidup mahasiswa!

JAMALIAH JAMALUDIN

ADUN Bandar Utama