Tian Yan secara terbuka menyatakan kekecewaan beliau kerana kebanyakan masyarakat Tionghua di negara ini memandang keperluan lulus subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah sesuatu yang tidak perlu dan tidak berasas.

Benar seperti yang beliau katakan, di negara mana sekalipun bahasa kebangsaan iaitu bahasa perantara menjadi komponen penting bagi membina sebuah negara, membolehkan masyarakat daripada latar belakang berbeza bergaul dan berinteraksi, seterusnya mewujudkan beberapa pemahaman umum serta perpaduan negara.

Isu mempertikai bahasa kebangsaan ini tidak wujud di negara lain kerana warganegara mereka faham secara realistik dan praktikal kepentingan bahasa untuk komunikasi, bekerja mahupun hidup seharian.

Pepatah Melayu menyebut ‘masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak.’ Secara ringkasnya di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung, bukan sahaja melibatkan adat budaya dan perundangan setempat malahan bahasa kebangsaan.

Tidak masuk dek akal jika pergi ke Jepun tidak mahu belajar bahasa mereka, tidak mahu belajar bahasa Jerman tetapi mahu pendidikan percuma di sana mahupun mahu berniaga di China tetapi enggan menggunakan bahasa pengantar mereka.

Namun di Malaysia yang bahasa kebangsaannya bahasa Melayu, begitu ramai dalam kalangan rakyatnya memandang enteng penggunaan satu bahasa tempatan untuk semua urusan formal sehinggakan ada yang langsung tidak boleh bertutur lingua franca benua nusantara itu.

Jangan disebut orang Cina atau India kerana orang Melayu sendiri semakin ramai tidak malu menolak bahasa ibunda sendiri malah lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan harian mahupun sebagai bahasa mendidik anak-anak.

Bukan sahaja kelulusan dan kemampuan doktor mahupun kakitangan awam lain memahami dan bertutur menjadi isu, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi atau formal juga semakin dipinggirkan sehingga nama tempat dan bangunan juga kini lebih bercirikan Inggeris.

Saya tabik hormat kepada Tian Yan kerana berani menyatakan pendirian tegas mengenai bahasa kebangsaan seperti mana Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Felo Utama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (Inspire), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

Mereka berani melawan pemimpin politik dan pemimpin komuniti bukan Melayu yang berfikiran sempit menolak ketetapan yang dipersetujui semua pihak sejak sebelum negara ini merdeka lagi. Rata-rata masyarakat bukan Melayu tiada masalah bertutur mahupun menggunakan bahasa Melayu asas dalam kehidupan harian dan juga urusan rasmi.

Namun, segelintir pemimpin bukan Melayu pula menjadi penghasut dalam hal bahasa pengantar dan bahasa rasmi rakyat Malaysia dengan menjatuhkan darjat bahasa Melayu yang kononnya tiada nilai dan tidak layak digunakan sebagai bahasa kebangsaan.

Susulan dakyah songsang ini dimainkan secara berterusan, khususnya sepanjang 20 tahun lalu telah melahirkan generasi anak muda yang membenci bahasa kebangsaan sendiri sehingga tidak mahu menggunakannya dalam apa jua keadaan.

Anak muda tanpa jati diri ini lebih rela menyerap budaya dan bahasa asing daripada melindungi dan memartabatkan bahasa Melayu yang membezakan semua warga Malaysia dengan rakyat negara lain.

Isu bahasa ini tidak akan selesai selagi rakyat Malaysia tidak dididik mencintai bahasa kebangsaan kita atas apa jua alasan dan pasti semakin teruk jika tiada kawalan perundangan dalam penggunaan bahasa dalam urusan rasmi. Mari kita terus pertahan dan martabatkan bahasa kebangsaan.

KHAIRUDIN HAMID

Klang, Selangor