Menurut beliau, pihaknya serius dalam menangani gengsterisme melibatkan pelajar dan turut melahirkan keyakinan pengetua tidak akan menyembunyikan sebarang kes jenayah di sekolah masing-masing.

Kenyataan itu adalah bagi mengulas penahanan beberapa pelajar di sekitar Klang, Selangor, yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 susulan video tular sekumpulan penunggang motosikal menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah baru-baru ini.

Saya berpendapat langkah tidak menyembunyikan jenayah yang berlaku di sekolah akan menyenangkan usaha untuk membanteras kegiatan berkenaan.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan Mahdzir bahawa kes pelajar di negara ini yang terlibat dengan gengsterisme masih terkawal.

Gengsterisme menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka adalah kegiatan kumpulan sulit dalam melakukan sesuatu kegiatan jenayah.

Kebiasaannya, apabila kumpulan gengster wujud di sekolah, ahli-ahlinya cenderung melakukan kesalahan disiplin dan melanggar peraturan sekolah. Mereka turut terlibat dengan perbuatan peras ugut, buli, ponteng sekolah, melepak dan merokok.

Semakin ramai ahli kumpulan, mereka akan merasakan diri kuat dan mampu menindas golongan lemah.

Sebenarnya, kes remaja terlibat dengan gengsterisme bukanlah isu baharu. Antara faktor yang mendorong mereka terlibat dengan kegiatan itu adalah pengaruh rakan sebaya.

Remaja yang tidak mempunyai jati diri kuat mudah terikut dengan rakan-rakan yang membawa pengaruh negatif. Selain itu, remaja kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mudah terpengaruh dengan kegiatan jenayah sedemikian.

Seterusnya, pengaruh filem-filem yang memaparkan masalah-masalah sosial dan aksi-aksi ganas sehingga menyebabkan remaja terikut-ikut dengan perlakuan yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Justeru, didikan agama yang kuat sejak kecil amat penting dalam membentuk peribadi remaja ke arah yang lebih baik. Apabila remaja mengenal agamanya dengan baik dan melakukan ibadah disarankan oleh Islam seperti menunaikan solat, membaca al-Quran dan amalan-amalan lain, mereka akan terbiasa melakukan tingkah laku baik dalam kehidupan seharian sejak kecil.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberikan didikan agama yang cukup kepada anak-anak.

Pendidikan awal anak-anak adalah bermula daripada ibu bapa. Mereka juga berperanan memupuk akhlak baik dan membentuk jati diri unggul dalam kalangan anak-anak supaya menjadi manusia berguna pada masa hadapan.

Anak-anak yang telah terdidik dengan nilai-nilai agama yang baik mampu membezakan antara perkara baik dan buruk.

Keperibadian remaja pada masa hadapan adalah bergantung kepada cara ibu bapa mendidik mereka. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi.” (Riwayat al-Bukhari).

Didikan agama adalah kaedah paling utama dalam menangani masalah sosial yang semakin menular dalam kalangan remaja.

Pada masa sama, saya berharap polis terus melakukan serbuan di pusat-pusat hiburan dari semasa ke semasa kerana tempat itu sering menjadi pilihan kumpulan gengster untuk berkumpul.

SITI AISHAH SULAIMAN

Negeri Sembilan