Langkah melakukan pen­­­­jenamaan semula pendidikan aliran tahfiz dengan mema­sukkan kurikulum TVET sebagai tambahan kepada ilmu-ilmu berkaitan pengajian al-Quran adalah tepat pada masanya dan sesuai dengan kemajuan sistem pendidikan masa kini.

Pembentangan Bajet 2018 tidak lama lagi difahamkan akan melibatkan sejumlah besar peruntukan kepada sekolah-sekolah tahfiz peringkat rendah dan me­ne­ngah di Malaysia. Ini adalah satu usaha kerajaan bagi memartabatkan kurikulum sekolah berasaskan pengajian al-Quran.

Justeru, langkah mempelbagaikan kurikulum sekolah-sekolah tahfiz dengan penerapan TVET adalah idea yang kreatif dan sesuai dengan arus liberalisasi pendidikan.

Melalui pengajaran subjek-subjek berkaitan TVET di samping kurikulum pengajian al-Quran akan melahirkan individu yang holistik, mampan dan seimbang.

Sekiranya kerangka pendidikan ini diwujudkan dan dilaksanakan dalam masa terdekat, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang memperkenalkan konsep embedded-learning atau gabungan pengajian akademik dengan yang bersifat kemahiran di sekolah-sekolah tahfiz.

Pengenalan TVET akan membuka peluang kepada pelajar-pelajar lepasan pengajian tahfiz memperoleh pengetahuan dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional pada peringkat awal usia mereka.

Pelajar juga boleh mempelbagaikan jurusan pengajian mereka di peringkat universiti dan bukan sekadar dalam bidang pengajian al-Quran sahaja sejurus menamatkan pengajian di sekolah-sekolah tahfiz.

Difahamkan kurikulum TVET yang akan diperkenalkan adalah bersifat terkini membabitkan ilmu-ilmu sains industri dan teknologi abad ke-21 yang menekankan kepada keberhasilan, pengaplikasian teknologi dan penggunaan mesin sesuai dengan keperluan dan kemajuan industri.

Usaha ini selaras dengan dasar negara berkaitan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang mengukur kemajuan dan peningkatan taraf sosioekonomi sesebuah negara berdasarkan tenaga kerja mahir yang mampu membuat inovasi dan melahirkan idea-idea baharu. Langkah itu juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja mahir asing.

Dalam pada itu, saya berharap TVET turut diajar sejak peringkat sekolah rendah membabitkan semua aliran pendidikan di negara ini seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju termasuk Jerman, Amerika Syarikat dan Australia.

DR. MUHD. KHAIZER OMAR

Universiti Putra Malaysia (UPM)