Pornografi secara tidak langsung telah menjadi musuh utama negara kerana ia umpama sejenis dadah baharu yang memusnahkan teras kenegaraan iaitu masyarakat.

Usaha memerangi bahana pornografi yang membawa kepada kehancuran sistem kekeluargaan perlu dibuat secara berterusan agar institusi ini terus utuh dan terpelihara.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan dalam seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (Stop) di Negeri Sembilan menegaskan dunia Islam termasuk Malaysia masih lagi kuat memiliki dan memelihara institusi kekeluargaan.

Hal ini berbeza dengan dunia Barat. Walaupun Barat mendahului serba-serbi dalam aspek ekonomi, teknologi dan sebagainya tetapi sistem negara yang paling asas iaitu institusi keluarga mereka telah musnah sama sekali.

Tiada jalan lain untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan dunia Islam selain mempertahankan sistem asas kekeluargaan.

Secara peribadi, saya melihat Stop membuka mata ibu bapa dalam era digital agar lebih peka dengan perubahan zaman digital yang mendedahkan anak-anak kepada pelbagai ancaman khususnya rangsangan seksual di alam siber.

Kempen Stop berjaya mendedahkan peserta kepada betapa besarnya bahana pornografi terhadap masyarakat.

Bukan setakat itu, anggota panel Stop juga berkongsi langkah-langkah praktikal untuk ibu bapa, remaja dan pendidik menangani gejala pornografi daripada menyerang seseorang individu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yang merasmikan seminar tersebut turut menegaskan kementerian akan lakukan apa sahaja untuk membanteras bahan-bahan berunsurkan pornografi.

Ayuh, sama-sama kita sertai gerakan Stop.

FARIDAH MOHD. TAP

Negeri Sembilan