Kami menyokong hasrat dan inisiatif ini terutama bagi mengelakkan murid-murid membawa beban buku yang terlalu banyak ke sekolah.

Sekolah perlu menyediakan rak dan almari buku di setiap kelas untuk memudahkan murid-murid menyimpan buku dan membawa pulang buku latihan serta buku teks untuk kerja rumah.

Pengurangan beban beg ini bukan bermakna subjek yang diajar itu dikurangkan waktu dan bilangannya tetapi menjadikan subjek itu setiap hari dalam lingkungan tiga ke empat subjek bagi setiap kelas dan mengambil kira keanjalan masa guru mengajar dan nisbah guru dengan murid.

Bagi aktiviti renang, iGuru amat menyokong langkah tersebut memandangkan murid-murid terdedah kepada insiden lemas ketika menjalankan aktiviti melibatkan air seperti di laut, sungai dan air terjun.

Mereka juga terdedah kepada bahaya jika berlaku banjir dan sebagainya.

Aktiviti sukan renang amat baik untuk kesihatan dan latihan pernafasan. Renang dapat membantu meningkatkan oksigen ke otak seterusnya menggerakkan seluruh anggota badan untuk aliran darah dan kesihatan badan.

Kami berharap kelab-kelab renang akan ditubuhkan di sekolah-sekolah sebagai perintis kepada inisiatif tersebut di samping menjadikan renang sebagai sukan bagi semua, bukan sahaja kepada golongan elit dan kaum tertentu sahaja.

Kerjasama erat bolah dilakukan antara pihak kementerian dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam menjadikan sukan renang sebagai sukan penting di semua sekolah termasuk sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM selain di sekolah-sekolah sukan.

MOHD. AZIZEE HASAN

Presiden iGuru