Ini kerana Dego Ride yang beroperasi menggunakan aplikasi maya serta menyamai ‘ojek’ di Indonesia dan ‘motorsai rap chang’ di Thailand menawarkan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh tiga kilometer dan tambahan 60 sen bagi setiap kilometer berikutnya.

Difahamkan MyInteractive Lab Sdn. Bhd., syarikat mengendalikan perkhidmatan Dego Ride mendapat 600 permintaan pada hari pertama pelancaran, manakala terdapat 5,500 peserta (rider) yang berdaftar dengan syarikat itu dalam masa tiga bulan perkhidmatan dimulakan.

PERKHIDMATAN Dego Ride boleh didapati menggunakan aplikasi maya.
PERKHIDMATAN Dego Ride boleh didapati menggunakan aplikasi maya. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA

Dalam satu temubual dengan Bernama Radio baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nabil Feisal Bamadhaj dipetik berkata, hanya motosikal 150 cc ke bawah dan berusia lima tahun ke bawah dibenarkan selain memastikan setiap rider diberikan latihan asas keselamatan.

Bukan sahaja tiada kemalangan dicatatkan setelah tiga bulan Dego Ride beroperasi, bahkan data syarikat itu juga menunjukkan rider mampu meraih antara RM1,800 hingga RM2,500 sebulan, malah ada yang melebihi RM3,000.

Berdasarkan ‘reputasi’ Dego Ride yang semakin popular dalam kalangan warga kota sebagai alternatif murah dan pantas untuk mengatasi kesesakan di sekitar Lembah Klang maka mendorong syarikat itu untuk memperluaskan perkhidmatan ke Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Secara keseluruhannya, idea mewujudkan Dego Ride sebagai pengangkutan awam cekap dan murah itu bagus, apatah lagi Dego yang diasaskan daripada ungkapan despatch on the go menawarkan perkhidmatan 24 jam.

Selain perkhidmatan ditawarkan sesuai terutama bagi pekerja yang tamat syif pada tengah malam untuk pulang ke rumah, Dego Ride turut mengambil rider wanita memandangkan 80 peratus pelanggan adalah wanita.

Begitupun, dalam keterujaan masyarakat terhadap Dego Ride itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi mengejutkan banyak pihak selepas diminta pemberita untuk mengulas perkhidmatan Dego Ride pada 24 Januari lalu yang antara lain berkata: “Setakat ini, tiada lesen dikeluarkan untuk lesen teksi motosikal, kalau mereka membuat perniagaan, ia menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987”.

Susulan daripada kenyataan Abdul Aziz itu, kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula mengarahkan operasi Dego Ride dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.

Secara peribadi saya tertarik dengan konsep Dego Ride. Begitupun saya amat terkejut apabila mengetahui perkhidmatan teksi motosikal itu tidak mendapat permit untuk beroperasi, justeru bagaimana syarikat itu amat berkeyakinan bahawa perkhidmatan diberikan selamat?

Sebagai pengasas, saya yakin Nabil Feisal maklum tentang prosedur perundangan sebelum memulakan Dego Ride namun beliau tetap menjalankan operasi dengan alasan tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka menawarkan perkhidmatan itu.

Bayangkan, sudah lebih tiga bulan Dego Ride beroperasi tanpa lesen dan sepanjang tempoh itu berapa ramai pelanggan telah terdedah kepada risiko kemalangan yang tidak dilindungi insurans atau ‘mati katak’!

Sebagai pengendali bertanggungjawab, Nabil Feisal sepatutnya meletakkan keselamatan pengguna jalan raya sebagai keutamaan. Justeru timbul persoalan di sebalik niat perniagaan dijalankan - apakah demi membantu rakyat atau semata-mata mahu mengaut keuntungan?

Apa pun perniagaan yang dijalankan, harus mengikut lunas undang-undang. Nyawa manusia bukan boleh dijual beli, justeru saya amat menyokong langkah Kementerian Pengangkutan yang mahu operasi Dego Ride dihentikan serta-merta.

Memanglah motosikal lebih efisien berbanding kereta namun penggunaan kenderaan dua roda itu lebih berisiko yang mana penumpang sentiasa terdedah kepada kemalangan. Buktinya, kira-kira 60 peratus daripada semua kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal.

GUNA BECA

Setiawangsa, Kuala Lumpur