Kini saya tidak lagi me­rokok, pun begitu saya amat bersetuju dengan cadangan supaya disediakan tempat khas merokok di ruangan forum akhbar ini baru-baru ini.

Ia adalah langkah terbaik setelah kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan merokok di tempat awam.

Hal demikian kerana bagi mereka yang merokok secara tegar mereka akan berasa rimas dan tidak selesa sekiranya tidak merokok.

Ini terutama pada waktu tertentu seperti selepas makan atau berada dalam keadaan tertekan dan sebagainya.

Oleh itu antara kawasan yang paling wajar disediakan tempat sedemikian pandangan saya ialah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan seumpamanya di lebuh raya.

Kawasan tersebut sangat sesuai kerana setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk merawat serta merehatkan badan serta minda.

Misalnya sesetengah orang gemar minum kopi, makan, membaca surat khabar dan merokok merupakan sebahagian daripadanya.

Oleh itu, menyediakan tempat khas merokok di kawasan R&R merupakan suatu keperluan dan langkah sesuai.

Saya percaya ia sepatutnya tidak menjadi keberatan kepada kerajaan.

PEMERHATI POLITIK AMATUR

Pendang