Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Sokong Awas dan Kejara

SISTEM pemantauan automatik dapat membantu agensi penguatkuasaan
SISTEM pemantauan automatik dapat membantu agensi penguatkuasaan yang tidak mempunyai cukup anggota untuk memantau setiap ceruk jalan raya di seluruh negara. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG,
SAYA telah lama menyokong sistem pemantauan had laju dan kesalahan trafik termasuk pengenalan Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana semua sistem itu dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Keluarga saya sejak dahulu lagi berpegang kepada prinsip ‘tidak perlu takut jika tidak bersalah’ kerana bagi kami, hanya penjenayah sahaja akan berasa takut terhadap peruntukan undang-undang termasuk hukuman jika melanggar peraturan di jalan raya.

Hanya penjenayah akan mendakwa undang-undang membebankan mereka malah ahli politik yang menjadikan AES satu isu kononnya kerajaan dan pihak berkuasa mahu kaut keuntungan sebenarnya tali barut penjenayah.

Wakil rakyat sepatutnya memperjuangkan nasib pengguna jalan raya yang teraniaya disebabkan kecuaian dan kesalahan pemandu lain dan bukannya memperjuangkan nasib penjenayah.

Oleh itu, saya dan keluarga sangat menyokong pelaksanaan Sistem Keselamatan Ke­se­daran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Ma­ta Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dikuatkuasakan di seluruh negara mulai 1 April lalu dengan demerit mata lesen bermula 15 April lalu.

Bagi pemegang lesen kompeten (CDL), 20 mata demerit pertama pesalah akan diberikan amaran, 20 mata kedua gantung kali pertama selama enam hingga lapan bulan dan 20 mata ketiga gantung kali kedua selama lapan hingga 10 bulan.

Untuk 20 mata keempat, lesen pesalah akan digantung buat kali ketiga selama 10 hingga 12 bulan dan bagi 20 mata kelima, lesen pemandu akan dibatalkan terus dan pesalah perlu memohon lesen memandu baharu.

Sekiranya pesalah memandu ketika lesen memandu digantung atau dibatalkan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM3,000 atau tidak melebihi RM10,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

Perlu di ingat, negara pernah dikejutkan dengan kejadian beberapa buah kereta berlumba menyebabkan kemalangan yang membunuh satu keluarga.

Kita lebih terkejut dengan beberapa kejadian memandu melawan arus yang ada di antaranya meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

Tidak kurang juga begitu banyak kes kenderaan berat terutama sekali bas ekspres yang sudah usang, tidak diselenggara mahupun dipandu secara berbahaya menyebabkan kematian khususnya di lebuh raya.

Ditambah kejadian langgar lampu merah, memecut melebihi had laju, memandu secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, memandu ketika mabuk dan banyak lagi kesalahan yang kerap dilakukan pemandu di negara ini.

Setiap hari ada sahaja berita kematian di jalan raya khususnya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal yang menjadi penyumbang utama statistik kemalangan maut setiap tahun.

Jelas sekali agensi-agensi penguatkuasaan tidak mempunyai cukup anggota penguat kuasa untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pemandu di seluruh negara.

Oleh itu, kaedah terbaik adalah pemantauan secara automatik seperti AES, Kejara dan Awas yang akan memaksa pemandu mengawal diri supaya sentiasa mematuhi peraturan di jalan dan lebuh raya malah merekodkan bukti sekiranya berlaku kemalangan.

Semua sistem ini bukan sahaja dapat mendisiplinkan pemandu kenderaan persendirian malahan bagus untuk kenderaan komersial khususnya bas dan teksi yang sering dilihat memandu secara melulu, melanggar had laju, menggunakan lorong kecemasan dan melanggar lampu merah.

Jika masih ada pemandu tidak pedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain, sekurang-kurangnya mereka perlu fikirkan nyawa sendiri mahupun ahli keluarga.

Kalau itu pun tidak cukup penting maka mereka perlu fikirkan jumlah duit yang bakal hilang jika disaman atau didenda mahkamah atau bagi golongan hartawan, mungkin takut kepada hukuman penjara.

Jika denda dan penjara pun tidak dapat mendisiplinkan mereka, maka manusia jenis ini seeloknya dilarang memandu di jalan raya.

Lebih-lebih lagi jika melibatkan pemandu dari negara jiran mahupun warga asing, jangan dibiarkan mereka sesuka hati melanggar peraturan jalan raya Malaysia kerana akan akhirnya menjejaskan moral dan disiplin rakyat kita sendiri.

Apa pun, saya harap penguatkuasaan semua sistem pemantauan ini akan berjalan lancar dan jangan dipedulikan jika ada lagi wakil rakyat tali barut penjenayah yang cuba menyekat pelaksanaannya.

RIDER KENTAL

Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain