Di zaman Rasullullah SAW, aktiviti bersukan seperti memanah, menunggang kuda dan berlawan pedang adalah digalakkan supaya umat Islam sentiasa cergas.

Namun baginda tetap menerapkan kewajipan menutup aurat ketika melaksanakan riadah dan bukannya menutup aurat semasa beribadat semata-mata.

Pendapat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan skuad bola sepak di negara maju seperti England dan Perancis membenarkan pemain Islam mengamalkan ajaran Islam perlu diterima dalam konteks yang lebih holistik.

Selaku Islam sebagai agama rasmi di negara ini, saya berharap Kementerian Belia Dan Sukan sewajarnya mengalu-alukan langkah kerajaan Negeri Terengganu itu yang mahu melaksanakan konsep patuh syariah di negeri tersebut.

Malah pelari wanita di Negara Asia Barat juga menutup aurat ketika di padang balapan dan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu bukanlah sesuatu yang janggal di dalam konteks sukan peringkat antarabangsa.

Kepada Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, saya berharap pihak kementeriannya melihat aktiviti sukan sebagai satu landasan untuk mempromosikan Islam sebagai addin iaitu cara hidup.

Saya juga berharap para mufti dan ulama mengemukakan pendirian yang tegas dan jelas berhubung perkara ini agar tidak timbul kekeliruan kepada penganut agama lain berkenaan konsep menutup aurat di dalam Islam.

ATLET MUSLIM

Putrajaya