Dilaporkan perundangan yang dicadangkan itu juga akan membolehkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memaksa kilang-kilang haram untuk dipindahkan atau ditutup.

Rakyat Malaysia yang prihatin terhadap alam sekitar perlu menyokong undang-undang baharu itu yang akan turut memberi kuasa kepada jabatan di peringkat Persekutuan untuk bertindak terhadap industri yang didapati mencemari rizab sungai.

Banyak isu semasa seperti pertanian haram, pembalakan tidak terkawal, pembuangan sampah secara haram termasuk sisa toksik ke dalam sungai serta pembangunan tidak terkawal telah menimbulkan ancaman besar kepada persekitaran kita.

Pada masa ini, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan ia menyebabkan agensi di bawah kementerian terbabit sukar untuk mengambil tindakan.

Undang-undang yang dicadangkan itu juga akan memperkenalkan pendekatan penguatkuasaan baharu, yang dikenali sebagai ‘7 Kaedah Pengurusan Alam Sekitar’ yang akan mewajibkan industri dan mereka yang terlibat dengan pembangunan untuk mengawal selia projek mereka secara kendiri.

Saya juga berharap kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk menjadikan subjek alam sekitar sebagai sebahagian sukatan pelajaran sekolah rendah dan menengah kerana ia dapat membantu mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar dan bagaimana memeliharanya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini memaklumkan pegawai tertinggi daripada kementeriannya dan Kementerian Pendidikan telah membincangkan cadangan itu dan menerimanya. Cadangan itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet tidak lama lagi untuk mendapat kelulusan.

Sekiranya boleh, subjek alam sekitar harus bermula dari tadika sehingga ke tahap pengajian tinggi bagi memastikan perkara itu dihayati sepenuhnya dan akan menjadi budaya dalam kalangan generasi muda kita.

Saya percaya jika kita dapat memupuk perasaan cinta terhadap alam semula jadi pada usia muda, generasi akan datang pastinya dapat membantu melindungi alam sekitar dan mencegah pencemaran bunyi, udara dan air daripada menjadi semakin teruk.

Kita perlu memastikan anak-anak sentiasa bertanggungjawab dan menyedari kepentingan alam sekitar bagi memastikan kita dapat mengurangkan pelbagai bencana yang boleh dicegah seperti tanah runtuh di tapak pembinaan, banjir kilat di kawasan bandar dan jerebu yang disebabkan oleh amalan pembakaran kawasan pertanian secara sesuka hati

Saya juga berharap guru dan pelajar tidak menganggap subjek alam sekitar ini sebagai beban kerana apa sahaja yang mereka lakukan untuk alam sekitar akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

Usaha memelihara alam semula jadi dan persekitaran yang kondusif akan memastikan generasi masa depan dapat mewarisi negara yang selamat dan mesra alam.

Jika kita enggan berdamai dengan alam sekitar dan mengambil langkah positif untuk melindunginya, sudah pasti kita terpaksa membayar dengan harga yang tinggi.

TAN SRI LEE LAM THYE
Pemegang Amanah 
Yayasan 1Malaysia