Tulisan itu sebagai mengulas cadangan baharu pimpinan kerajaan negeri Kelantan dan beliau menerusi tulisan tersebut telah menzahirkan sokongannya. Di sini saya juga ingin berkongsi pandangan tentang isu tersebut.

Selaku seorang bapa yang suatu ketika dahulu pernah membesarkan beberapa orang anak remaja, saya amat bersetuju dengan pandangan beliau serta menyokong langkah kerajaan Kelantan itu.

Pada saya, ia sebenarnya bukan isu baharu bahkan isu seumpamanya pernah timbul sekitar 2002 atau 2003 di mana kerajaan negeri Perlis di bawah pentadbiran Datuk Seri Shahidan Kassim ketika itu telah mengutarakan dasar atau peraturan yang sama iaitu ‘perintah berkurung terhadap remaja di bawah 18 tahun’.

Sehubungan itu, saya lihat konsep dan objektif yang dilaksanakan di negeri Kelantan itu lebih kurang sama seperti apa yang telah diutarakan dan dilaksanakan kerajaan Perlis suatu masa dahulu.

Sebagaimana biasa reaksi masyarakat khususnya ibu bapa ketika itu didapati ada yang sokong dan ada yang tidak. Justeru itu, Shahidan selaku Menteri Besar terpaksa memberi penjelasan lanjut melalui media massa.

Saya sendiri juga pernah menulis sebuah artikel pendek mengenainya di ruangan Forum Utusan Malaysia yang disiarkan pada 16 Januari 2003 dengan tujuan untuk berkongsi pendapat terhadap isu berkenaan.

Saya kira apa yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan itu mungkin untuk membendung pelbagai gejala sosial yang melibatkan golongan remaja dalam masyarkat kita beberapa tahun mutakhir ini.

Tujuan inisiatif ini tentu baik dan murni demi melahirkan komuniti serta generasi muda yang soleh dan solehah, terutama sekali bagi masyarakat Islam.

Atas sebab-sebab itu, saya rasa tidaklah salah sekiranya usaha murni ini mendapat sokongan daripada seluruh masyarakat khususnya masyarakat Melayu dan Islam negara ini tanpa mengira ideologi politik.

SALLEH SAAD

Kedah