Melalui kaedah itu, mereka yang mengendalikan operasi lebuh raya mendakwa mampu mempercepatkan urus niaga pembayaran di plaza-plaza tol, khususnya pada musim perayaan bagi menampung bilangan kenderaan yang meningkat berlipat kali ganda.

Bagaimanapun adalah amat mengecewakan apabila mengetahui peranti Smart Tag kini tidak lagi dijual di mana-mana lokasi pengendali lebuh raya.

Saya cuba membeli peranti berkenaan dan dimaklumkan telah berbulan-bulan lamanya alat itu tidak lagi dijual dengan alasan kononnya tidak tahan lama dan mudah rosak. Justeru syarikat bertanggungjawab enggan memasarkannya kerana mendapat banyak cemuhan akibat peranti Smart Tag yang kurang berkualiti itu.

Isunya apakah jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi ini dan hasrat kerajaan memudahkan lebih ramai pengguna lebuh raya melakukan transaksi di plaza tol menggunakan lorong Smart Tag akan terhenti?

Apakah pak menteri yang bertanggungjawab menyedari masalah ini dan apa pula langkah diambil untuk mengatasinya? Walaupun ini bukan isu besar yang boleh menggegarkan negara, tetapi sebagai pengguna lebuh raya, penggunaan Smart Tag sangat membantu mempercepatkan perjalanan melepasi plaza tol, lebih-lebih lagi semasa musim perayaan.

Untuk makluman, saya telah membeli lima peranti Smart Tag dan dua daripadanya kini tidak boleh digunakan. Malangnya, alat berharga sekitar RM100 itu tidak boleh dibaiki atau disenggara oleh syarikat penjual.

Saya amat mengharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan supaya lebih ramai dapat menggunakan lorong Smart Tag di plaza tol.

Dalam situasi semasa, secara teorinya, pengguna lorong Smart Tag akan menjadi semakin berkurangan selaras dengan jumlah peranti yang semakin banyak rosak kerana pengguna kenderaan tidak dapat membeli alat baru untuk menggantikan yang tidak berfungsi.

Saya juga berharap syarikat pengedar kad Touch ‘n Go dan peranti Smart Tag dapat menyediakan talian khidmat pelanggan yang mampu memberi jawapan pantas terhadap apa juga pertanyaan dikemukakan secara dalam talian.

PAK TUA ZAINAL

Kajang