Mereka juga berpandangan bahawa SPM adalah kunci untuk ‘membebaskan diri’ daripada segala bentuk pendidikan di sekolah yang menekan diri mereka selama 12 tahun.

Kepercayaan sebegini mendorong pelajar untuk melakukan aktiviti yang menarik dan seronok sebagai ganjaran kepada diri sendiri sebaik sahaja tamat SPM.

Sebahagian pelajar meraikan kejayaan mereka dengan sujud syukur dan solat sunat seperti digalakkan Islam. Namun, sebahagian mereka juga memilih untuk meraikan dengan cara yang agresif seperti di dalam video yang tular baru-baru ini.

Sikap yang ditonjolkan sebahagian pelajar ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat sehingga mempertikaikan peranan guru di sekolah dalam membentuk pelajar yang mempunyai kesedaran sivik dan bertanggungjawab.

Masyarakat juga berpandangan bahawa sistem pendidikan yang diikuti pelajar selama ini telah gagal untuk mencapai salah satu objektif falsafah pendidikan iaitu melahirkan pelajar berakhlak mulia dan berketerampilan.

Masyarakat turut mempersoal tanggungjawab ibu bapa dalam memantau perlakuan anak-anak setelah tamat alam persekolahan.

Persoalan-persoalan yang timbul berkaitan isu ini perlu diambil berat semua pihak. Kebimbangan masyarakat memberi mesej bahawa sistem pendidikan di sekolah perlu memberi penekanan terhadap pembangunan rohani dan akhlak pelajar.

Koloborasi guru dan ibu bapa dalam memantau perkembangan pelajar perlu ditingkatkan supaya pelajar mendapat panduan dalam mengurus emosi dan tingkah laku. Selain itu, pelajar yang bakal menamatkan persekolahan perlu bertindak rasional dalam melakukan apa sahaja aktiviti sama ada di dalam atau di luar sekolah.

Hal ini kerana sikap mereka akan menjadi ikutan pelajar-pelajar lain. Pelajar juga hendaklah menanamkan nilai-nilai positif, memilih rakan yang baik dan mempengaruhi rakan-rakan lain ke arah kebaikan.

DR. SARIFAH NURHANUM SYED SAHURI

Pensyarah dan Ahli JKP I-Guru