Terkini, liputan Sukan Asia juga tiada siaran langsung atau siaran tertunda oleh Unifi TV.

Malang betul bagi mereka yang melanggan Unifi TV yang terpaksa membayar beratus ringgit sebulan untuk melanggannya.

Hendak berhenti daripada melanggan terpaksa membayar penalti kerana diikat kontrak perjanjian.

Hanya melalui perbualan telefon sudah memadai untuk kontrak dua tahun perlu dihabiskan dahulu dari tarikh melanggan.

Itulah nasib mereka yang mengambil langganan Unifi TV. Mengapa tiada kerjasama antara TM dengan syarikat televisyen berbayar, Astro dan juga RTM?

Yang menjadi mangsa adalah pelanggan Unifi TV hinggakan bila ada siaran langsung apa juga jenis sukan yang disiarkan RTM dan Astro seperti Sukan Asia, Unifi TV langsung tidak dapat siarannya.

Kenapa disekat untuk tontonan umum sedangkan sepatutnya yang menikmati adalah semua lapisan masyarakat yang bermastautin di negara ini?

Mohon jasa baik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dapat membantu supaya tiada mana-mana syarikat sewenang-wenangnya monopoli apa juga program terutama apabila adanya siaran langsung sukan di peringkat antarabangsa atau tempatan.

Inilah yang terjadi, seolah-olah pemain industri bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan ramai pelanggan tanpa mengambil kira selera penonton dan pemain industri dilihat hanya mahu keuntungan berlipat kali ganda semata-mata.

Diharapkan juga perjanjian melalui bualan dalam talian antara pelanggan dan syarikat TV berbayar dihentikan serta-merta.

Hanya perjanjian secara bertulis dan ditandatangani sahaja dianggap sebagai sah dan diperlakukan kerana selalunya ada penipuan terhadap pelanggan itu sendiri tentang kos dan sebagainya.

Kaedah perjanjian lisan ini boleh dimanipulasi dan hak pelanggan dalam perjanjian itu diubahsuai tanpa perjanjian bertulis.

Jika perlu hapuskan kontrak lebih awal daripada dua tahun yang disyaratkan agar pelanggan bebas memilih syarikat lain yang menawarkan pakej lebih baik seterusnya menggalakkan persaingan sihat antara pemain utama industri.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga mungkin boleh memperkenalkan sebuah lagi saluran percuma seperti RTM Khas untuk sukan-sukan yang diminati rakyat sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa.

PENGGUNA SETIA MULTIMEDA

Negeri Sembilan