Peningkatan kadar pembuangan sisa daripada industri ini mencetus kebimbangan mengenai kesan sosial dan alam sekitar. Keadaan ini mencetus idea penyelidik tempatan untuk mencari alternatif baharu dalam mengawal sisa sawit daripada terus menjadi timbunan utama di tapak pelupusan sampah. Hasil kajian daripada universiti tempatan menemukan alternatif penggunaan sisa sawit seperti abu minyak sawit POFA sebagai bahan ganti dalam industri pemprosesan simen.

Industri pemprosesan Simen Portland Biasa (OPC) memerlukan kira-kira 12 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga di Malaysia dan hampir tujuh peratus daripada jumlah karbon dioksida dikeluarkan oleh industri itu. Oleh kerana pemprosesan OPC telah menimbulkan masalah dari segi penggunaan tenaga, perbelanjaan kos dan pencemaran alam sekitar, pengikat baharu perlu diperkenalkan bagi menggantikan OPC dalam industri pembangunan. Hasil kajian membuktikan POFA merupakan bahan buangan yang mengandungi komposisi kimia yang mempunyai fungsi sama OPC. Bahan ini mengandungi silika dan Alumina yang bertindak balas dengan campuran air untuk menghasilkan kesan pengikat dalam membantu proses pengerasan konkrit yang merupakan bahan utama dalam kejuruteraan pembinaan.

Kerjasama di antara industri dan universiti tempatan bukan sahaja membuka lembaran baharu dari segi penjanaan ekonomi dan kajian tempatan, malah memberi peluang kepada semua pihak termasuk masyarakat untuk berganding bahu menjaga kemapanan alam sekitar.

MAZNI MAT ZIN

Pensyarah Jabatan Sumber Air dan Alam Sekitar
Universiti Teknologi Mara (UiTM)