Tidak berapa lama kemudian, mereka menerima bayaran pertama faedah penuh SIP yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu.

Malangnya, sehingga surat ini ditulis, tidak semua pencarum yang memohon dan layak menerima faedah penuh SIP termasuk saya menerima bayaran pampasan.

Selepas mengemukakan borang permohonan secara manual di pejabat Perkeso Negeri Sembilan pada 3 Disember, saya diminta datang sekali lagi mengisi borang permohonan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) pada 26 Disember 2018 dan pada masa sama, perlu mengisi borang secara dalam talian.

Pada 18 Januari lalu, saya terima e-mel daripada pegawai Perkeso cawangan Seremban meminta mengisi sekali lagi borang permohonan EMP secara dalam talian.

Apabila bertanya mengapa perlu diisi sekali lagi borang sama yang telah dilengkapkan secara manual, pegawai terbabit menyatakan bahawa ia disebab penggunaan sistem baharu yang memerlukan maklumat tambahan.

Saya kesal setelah sebulan, baharu dimaklum dan ia boleh menyebab bayaran faedah penuh SIP tertangguh.

Pada pandangan saya, masalah kelewatan bukan berpunca daripada sistem tetapi disebabkan kerenah birokrasi kerana ada rakan yang berurusan di Perkeso cawangan Kajang dan Pulau Pinang telah menerima bayaran pertama mereka.

PENGANGGUR

Rembau