Ini susulan serangan dilakukan oleh beberapa pengganas dipercayai terdiri daripada golongan pelampau kulit putih ke atas dua buah masjid ketika solat Jumaat di Christchurch, New Zealand.

Insiden keganasan ini harus membuka mata semua pihak khususnya masyarakat Barat terhadap isu Islamophobia serta sikap kebencian terhadap umat Islam yang dilihat mula menular dalam kalangan segelintir mereka ketika ini.

Islamophobia adalah satu istilah kontroversi yang merujuk kepada sikap prejudis, prasangka dan diskriminasi kepada agama serta umat Islam secara keseluruhannya.

Walaupun rata-rata masyarakat Barat masih mengamalkan sikap toleransi antara agama dan budaya, namun masih terdapat segelintir individu serta pertubuhan Barat yang suka melemparkan pelbagai kata-kata kesat serta negatif terhadap agama Islam itu sendiri serta umat Islam secara keseluruhannya.

Ini seperti tuduhan pengganas selain tuduhan terhadap tatacara kehidupan serta pemakaian menutup aurat yang dilabelkan sebagai ketinggalan zaman serta dilihat sebagai satu bentuk penindasan khususnya terhadap kaum wanita.

Tindakan proaktif perlu diambil bagi membendung sikap Islamophobia ini. Sesi penerangan dan pendidikan sama ada menerusi dialog atau perdebatan perlu dilakukan oleh umat Islam kepada masyarakat bukan Islam yang berada di dunia Barat mengenai ajaran sebenar yang dibawa oleh Islam.

Umat Islam sendiri harus tampil berani menerangkan dengan jelas bahawa Islam ialah agama yang sentiasa mementingkan kedamaian bukannya pergaduhan, peperangan dan keganasan.

Masyarakat Barat harus diberitahu untuk menghentikan sebarang kaitan dengan aktiviti keganasan. Umat Islam juga harus memberi pemahaman secara terperinci mengenai segala penetapan tatacara kehidupan yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam untuk umatnya.

Masyarakat Barat juga perlu ketahui bahawa segala masalah yang sedang dialami negara-negara Islam pada masa kini bukan disebabkan ajaran agama itu.

Ia hanya berlaku kerana faktor-faktor lain seperti penjajahan berpuluh tahun negara-negara Barat yang telah melemahkan serta memecah-belah kebanyakan negara-negara Islam.

Usaha boleh digerakkan di peringkat antarabangsa bagi mewujudkan satu bentuk konvensyen atau peruntukan undang-undang khas yang melarang sebarang perkara yang boleh menjerumus kepada Islamophobia.

Hal ini penting agar umat Islam dapat dilindungi daripada sikap Islamophobia yang jelas bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia yang sering dilaungkan dan diperjuangkan oleh masyarakat Barat sendiri.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia ( USIM )