Anggota sindiket menggunakan pelbagai taktik bagi meyakinkan orang ramai termasuk memberikan identiti palsu. Contohnya, jika mangsa orang Melayu, mereka akan cuba meyakinkan bahawa bos mereka juga kaum itu.

Berdasarkan pengalaman yang dialami sendiri, saya didatangi dua lelaki bukan Melayu. Tanpa disedari, mereka telah meyakinkan saya tanpa sebarang kecurigaan sehingga kerugian sebanyak RM25,000. Kemungkinan besar ramai lagi mangsa telah ditipu sindiket berkenaan dengan jumlah lebih besar.

Mereka memperoleh wang dengan cara sangat mudah tanpa penat-lelah. Pengalaman pahit yang dialami membuatkan saya sedar bahawa janganlah kita mudah mempercayai mana-mana pihak dengan membuta-tuli. Luluh hati saya apabila kehilangan wang sebegitu banyak.

Pesanan saya, janganlah kita terlalu teruja dengan ganjaran barangan mewah sehingga menyebabkan yang dikendong tidak dapat, yang dikejar berciciran.

Kepada orang ramai, jadikan kes saya ini sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati apabila didatangi individu tidak dikenali yang menawarkan pelbagai ganjaran.

Walaupun telah mengalami pengalaman pahit, saya berpendirian perkara yang telah berlaku biarlah berlalu kerana hidup kita perlu diteruskan.

Jika terus memikirkan perkara telah berlaku, sudah tentu akan mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri.

HAFIFI KAMARUDDIN

Petaling Jaya, Selangor