Bagi mengelak ibu bapa terbeban pada saat-saat akhir, satu petua yang perlu diamalkan mereka adalah membuat simpanan untuk pendidikan anak-anak sejak bayi lagi.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan ini termasuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya mereka mempunyai wang simpanan mencukupi. Ini kerana kos pendidikan akan berubah mengikut peredaran zaman dan sudah tentu tidak semakin murah.

Walaupun dicanangkan kos pendidikan di Malaysia adalah rendah kerana pihak kerajaan tidak mengenakan yuran, namun ibu bapa perlu mengambil kira kos-kos tersembunyi seperti pakaian sekolah, alat tulis, pengangkutan, makanan dan yuran Persatuan Ibu bapa dan Guru.

Ibu bapa yang hanya mengambil tahu tentang soal pendidikan anak-anak pada saat-saat akhir akan menjadi panik dan hilang punca untuk mendapatkan dana bagi membiayai kos pendidikan apabila sesi persekolahan bermula.

Seeloknya, contohi golongan yang mengambil inisiatif awal mewujudkan tabung simpanan atau pelaburan untuk membiayai kos pendidikan anak-anak merangkumi pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan seterusnya pendidikan tinggi.

Ramai ibu bapa yang memberi seribu satu alasan untuk tidak menyimpan bagi pendidikan anak-anak. Antara alasan itu adalah mereka tidak mempunyai lebihan pendapatan untuk disimpan. Semuanya telah digunakan untuk perbelanjaan harian diri sendiri dan keluarga.

Ibu bapa perlulah ingat bahawa simpanan untuk pendidikan tidak seharusnya dibuat atas duit lebihan pendapatan. Sewajarnya simpanan pendidikan dimasukkan terus sebagai perbelanjaan dan ditolak secara langsung dari pendapatan diterima. Jika ditolak dari lebihan pendapatan, akhirnya alasan sebegini akan terus kedengaran.

Langkah ini boleh dibuat jika ibu bapa meneliti kos bulanan keluarga secara terperinci dan bertindak mengurangkan atau menghapus terus perbelanjaan tidak penting seperti langganan stesen televisyen berbayar sedangkan mereka tiada masa pun untuk menonton filem dan drama.

Selain itu, terdapat ibu bapa yang tidak tahu cara menyimpan atau melabur untuk pendidikan anak-anak. Jika mereka tidak begitu arif mengenai perkara itu, orang yang perlu ditemui ialah konsultan perancang kewangan berdaftar.

Ada ibu bapa yang beranggapan tidak perlu menyimpan kerana anak-anak mereka akan mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sangkaan seperti itu tidak patut wujud kerana akan berlaku banyak perubahan pada masa depan termasuk dari segi syarat kelayakan untuk meminjam.

Satu kajian dilakukan sebuah bank mendapati ibu bapa di Malaysia membelanjakan purata sejumlah RM107,920 untuk pendidikan anak-anak mereka, dari sekolah rendah hingga ke tahap ijazah pertama. Jumlah itu sudah tentu akan bertambah pada masa depan.

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)