Katanya, sebanyak 62 peratus daripada jumlah yang bermasalah berat badan itu mempunyai paras kolesterol tinggi manakala 27 peratus berdepan masalah tekanan darah tinggi dan sembilan peratus menghidap penyakit kencing manis.

Bagi saya pendedahan itu cukup membimbangkan kerana membuktikan golongan pekerja di negara ini kurang mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan diri.

Menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk mengelak melakukan aktiviti kecergasan tidak boleh diterima.

Seharusnya pekerja mengambil inisiatif untuk mengekalkan tahap kesihatan dengan melakukan aktiviti kecergasan sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari.

Antara aktiviti kecergasan yang amat bermanfaat dan boleh dilaksanakan dengan mudah adalah turun naik tangga.

Kajian oleh saintis mendapati aktiviti itu mampu membakar kalori lebih banyak daripada berjoging dan berjalan kaki.

Oleh itu, aktiviti turun naik tangga haruslah diamalkan setiap individu khususnya yang tidak mempunyai banyak waktu lapang untuk bersenam.

Dalam pada itu, majikan harus mewajibkan pekerja untuk melakukan senaman paling kurang 10 minit sehari atau setengah jam seminggu.

Tetapkan waktu tertentu untuk semua pekerja berkumpul dengan memakai pakaian bersesuaian untuk melakukan aktiviti kecergasan secara beramai-ramai.

Pekerja yang ponteng daripada mengikuti aktiviti kecergasan perlulah dikenakan tindakan tegas.

Pihak majikan tidak harus menganggap aktiviti berkenaan membazir waktu yang sepatutnya ditumpukan untuk bekerja.

Ingatlah, tahap kesihatan diri yang baik akan meningkatkan kualiti dan produktiviti setiap pekerja.

Mereka juga akan menjadi pekerja yang cemerlang, berdisiplin dan responsif.

Hakikat itu adalah selaras dengan pepatah Arab yang menyatakan bahawa akal sihat itu terletak pada badan yang sihat.

Seseorang itu tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik tanpa badan yang sihat.

Sudah tentu pekerjaan yang dilakukan mereka menjadi tidak berkualiti jika dibandingkan dengan individu yang bekerja ketika sihat.

SITI MASITAH

MUHAMAD SABRI

Sekinchan, Selangor