Walaupun masalah itu telah dibangkitkan CAP sejak 10 tahun lalu, sehingga kini kejadian banjir lumpur tetap berlaku di situ setiap kali hujan lebat.

Oleh itu, CAP berharap kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat masalah tersebut dan mengambil tindakan segera untuk mengatasinya.

Berikutan banjir lumpur yang terjadi ketika waktu pagi pada bulan lalu, ramai pengguna jalan raya di sekitar Bayan Baru terlewat sampai ke tempat kerja kerana perlu menunggu air yang membanjiri jalan raya surut.

Tinjauan CAP mendapati, selain sisa lumpur, banjir berkenaan turut dipenuhi dengan sampah sarap.

CAP kecewa kerana kejadian itu masih lagi berulang sejak 10 tahun lalu. Masalah berkenaan bukan saja menyusahkan orang ramai malah menjejaskan imej Pulau Pinang sebagai negeri tumpuan pelancong apabila ada kawasan dipenuhi lumpur dan sampah sarap.

Kerajaan negeri dan MBPP perlu menjalankan kajian terperinci bagi mengetahui punca kenapa banjir lumpur kerap berlaku di kawasan itu dan mendedahkan hasil kajian tersebut kepada umum termasuk tindakan yang akan diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Kemungkinan masalah itu berpunca daripada tapak projek pembinaan yang tidak mempunyai sistem saliran baik dan masalah parit serta longkang tersumbat.

CAP bimbang jika masalah tersebut tidak ditangani segera akan berlaku kejadian banjir lebih besar yang melibatkan lebih banyak kawasan pada masa akan datang.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP