Saya antara ribuan pembaca setia akhbar ini sejak dari dahulu lagi. Apa yang saya perhatikan, Utusan Malaysia merupakan salah satu agensi yang banyak merakamkan sejarah Malaysia sejak mula negara ini wujud, malah usia akhbar ini juga lebih tua dari kemerdekaan yang dikecapi kini.

Kita juga maklum, akhbar ini juga yang meniup semangat rakyat Tanah Melayu ketika itu untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah.

Pun begitu, generasi hari ini ramai yang tidak mengetahui akan jasa dan sejarah akhbar ini. Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan agar disiarkan rencana bersiri berkaitan jatuh bangun Utusan Malaysia.

Hal ini saya rasakan penting kerana ramai dalam kalangan anak muda hari ini yang tidak tahu tentang kepentingan dan jasanya dahulu kepada mereka.

Siarkan juga rencana atau keratan berita terdahulu agar generasi masa kini dapat mengetahui apa yang telah berlaku dan perubahan yang telah dilalui negara serta akhbar Utusan Malaysia itu sendiri.

PEMBACA SETIA
Ipoh, Perak