Empat nama besar dicalonkan merebut jawatan tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut mendapat pencalonan ialah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa serta Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat.

Persaingan dijangka sengit memandangkan setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing untuk menaikkan semula martabat bola sepak negara. ­Pastinya keputusan sukar dilakukan untuk memilih calon terbaik yang dapat memenuhi kehendak peminat bola sepak tempatan.

Pada hemat saya, kriteria ­penting untuk menjadi Presiden FAM sebaik-baiknya dalam kalangan mereka yang berlatar­belakangkan bidang sukan. Dari segi itu, Tunku Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan Annuar dilihat calon terbaik memandangkan sumbangan mereka dalam memajukan bola sepak Johor dan Kelantan sangat besar.

Begitupun, Khairy juga telah membuktikan kejayaan melaksanakan Program Pembangunan Bola sepak Negara (NFDP) yang diketuai Lim Teong Kim dengan melahirkan pemain-pemain muda yang mampu menjadi pelapis skuad negara pada masa depan.

Jika usia dijadikan ukuran, TMJ adalah calon paling muda. Bagi saya, faktor usia tidak sepatutnya dijadikan halangan jika terbukti baginda mempunyai pengalaman dan ilmu mencukupi. Sudah tiba masanya kita memberi peluang kepada calon muda kerana jiwa muda selalunya lebih berani, yakin dan komited serta mempunyai idea-idea segar.

Kriteria kuasa dan pengaruh juga memainkan peranan penting terutama dalam menarik pelabur dan penaja bagi menguatkan kewangan FAM sekali gus membolehkan badan induk itu menyediakan prasarana moden bertaraf dunia, staf kejurulatihan berkualiti dan pengurusan yang sistematik.

Secara peribadi saya memilih Tunku Ismail. Kewibawaan baginda tidak dapat disangkal setelah kecemerlangan skuad Harimau Selatan yang dikemudi TMJ menjadi sebuah kelab Asia Tenggara pertama memahat sejarah muncul juara Piala AFC.

Malah TMJ juga berjaya menyediakan prasarana yang diiktiraf FIFA, selain baginda mempunyai perancangan jangka panjang yang menarik untuk pembangunan bakat-bakat muda di Johor.

Suka atau tidak, keputusan itu bergantung kepada undi 20 ahli gabungan dan satu undi daripada Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia yang akan memilih siapa bakal menduduki kerusi panas FAM pada 25 Mac depan.

 

MATDI

Kodiang, Kedah