KERATAN Mingguan Malaysia 4 Disember 2016.
KERATAN Mingguan Malaysia 4 Disember 2016.

Cadangan yang dibuat, dengan alasan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak termasuk oleh golongan pedofilia semakin membimbangkan, boleh dilaksanakan kerana silibus sedemikian sudah diajar di sekolah.

Pendidikan seksual telah diperkenalkan kementerian itu sejak 1989 lagi pada peringkat sekolah menengah dan diikuti sekolah rendah pada 1994.

Pendidikan seksual itu lebih dikenali dengan nama Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Cuma bagi peringkat tadika belum ada. Saya berharap kurikulum yang bakal disusun perlulah sesuai dengan tahap pemikiran kanak-kanak pada usia berkenaan. Segala penerangan perlulah bersifat mudah dan senang difahami oleh kanak-kanak tadika.

Saya juga tertarik dengan kenyataan Norrulhuda bahawa kerana tidak terdedah kepada pendidikan seksual, mangsa pedofilia merasakan perbuatan yang dilakukan terhadap mereka itu tidak salah sebaliknya menyeronokkan.

Akibatnya, perlakuan pedofilia akan berterusan dan menimbulkan ketagihan kepada mangsa yang masih berusia muda. Kita tidak mahu kanak-kanak peringkat tadika menjadi mangsa pedofilia luar sedar, tanpa mereka tahu itu adalah sentuhan tidak selamat.

Dalam pada itu, saya sedikit terkilan dengan kenyataan Norrulhuda bahawa pendidikan seksual tidak diajar secara serius.

Kenyataan itu seolah-olah ingin menggambarkan kepada umum bahawa guru mengambil sikap sambil lewa sewaktu mengajar di sekolah.

Saya sangat tidak bersetuju dengan pandangan beliau kerana kebanyakan guru berkenaan telah melakukan yang terbaik. Justeru, sepatutnya mereka diberikan pujian serta penghargaan dan bukan sebaliknya.

Terdapat juga kritikan bahawa silibus pendidikan seksual yang dilaksanakan oleh kementerian di sekolah menengah dan rendah tidak sesuai dan kurang menampakkan kesan. Bagi saya adalah tidak adil untuk menuding jari kepada pihak kementerian semata-mata.

Jika diteliti kandungan silibus PEERS, kurikulum adalah lengkap dan terperinci mengikut perkembangan tahap pemikiran dan umur pelajar.

Antara skop yang akan dimasukkan bagi murid tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) adalah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri dan pengurusan perasaan.

Bagi tahap dua yang membabitkan murid tahun empat, lima dan enam; skopnya adalah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual serta kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.

Bagi pelajar sekolah menengah di peringkat rendah pula, mereka akan didedahkan mengenai kecekapan psikososial atau kemahiran hidup bagi menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, perkembangan sifat seksual sekunder, identiti dan orientasi seksual, perhubungan serta kesan buruk alkohol, rokok serta dadah.

Sementara itu, di peringkat menengah atas, skopnya adalah mengenai kemahiran kecekapan psikososial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah.

Walaupun kurikulum sedia ada sudah memadai, ibu bapa perlu turut serta memainkan peranan untuk sama-sama mengajar pendidikan seksual di rumah.

Untuk membolehkan perkara itu dibuat secara berkesan ibu bapa perlu membuang salah faham kononnya pendidikan seksual bermaksud mengajar cara-cara melakukan hubungan seks. Perkara itu adalah tidak benar kerana PEERS langsung tidak menyentuh subjek berkenaan.

Sebaliknya, tujuh aspek yang ditekankan melalui PEERS yang sepatutnya turut diketahui ibu bapa adalah pengetahuan kesihatan diri dan reproduktif, penyalahgunaan bahan terlarang dan kemahiran pengurusan mental serta emosi.

Aspek lain adalah pengetahuan mengenai kepentingan institusi perkahwinan dan tanggungjawab sebagai ahli keluarga, etika dalam perhubungan, pencegahan penyakit serta langkah keselamatan diri di rumah, sekolah, taman permainan dan tempat awam.

LOKMAN SALLEH

Kuala Lumpur