Mengapa kita wajib memberi sokong terhadap cadangan ini. Pertama, bagi mengelakkan para remaja terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat ini. Kedua, dapat mengekang golongan remaja sehingga peringkat kolej dan seterusnya universiti daripada menjadi penagih rokok.

Ketiga, menggalakkan pihak kolej serta universiti mengadakan kempen anti rokok yang kini gejala itu dilihat seolah-oleh sukar dibendung. Kalau tidak percaya cubalah sesekali kita pergi ke mana-mana universiti atau kolej.

Pasti kita akan bertemu dengan pelajar-pelajar terutama pelajar lelaki di luar kampus yang begitu asyik menghisap rokok. Bukankah perbuatan itu membazir. Sudahlah tidak bekerja, ada hati hendak hisap rokok.

Apatah lagi dengan harga rokok yang semakin mahal. Saya difahamkan rokok berjenama premium berharga RM17 sekotak manakala harga rokok paling murah ditetapkan ialah RM10 sekotak. Oleh itu cuba kita bayangkan jika sebahagian besar wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibelanjakan untuk rokok, berapa baki yang tinggal untuk belanja makan, pengangkutan, kediaman dan tugasan akademik.

Akhirnya ibu bapa yang menjadi mangsa. Mahu tidak mahu mereka terpaksa memberikan wang saku tambahan kepada anak masing-masing di universiti kerana wang PTPTN tidak mencukupi gara-gara ketagihan rokok. Itu pun jika ibu bapa pelajar terbabit berkemampuan. Bagaimana pula jika ibu bapa pelajar terlibat tidak mampu?

Sekiranya ini berlaku sudah pasti pelajar berkenaan akan berhadapan dengan masalah kewangan sekali gus boleh memberi kesan kepada pembelajarannya. Apa yang dibincangkan di sini baru satu aspek sahaja iaitu dari sudut kewangan dan belum lagi disentuh dari sudut kesihatan dan pelbagai masalah sosial lain termasuk kemungkinan mereka terlibat dengan penagihan dadah.

Ringkasnya, cadangan Kementerian Kesihatan itu perlu dilaksanakan segera bagi menangani masalah penagihan rokok yang nampaknya terlalu sukar dibendung khususnya dalam kalangan remaja.

Cuma saya ingin tekankan di sini ialah tentang kerja-kerja penguatkuasaan oleh Kementerian Kesihatan. Pihak penguat kuasa Kementerian Kesihatan perlu lebih agresif membuat rondaan bagi memastikan hanya individu yang berusia 21 tahun dan ke atas dibenar membeli dan menjual rokok.

Tiada gunanya peraturan dibuat jika kerja-kerja penguatkuasaan lemah. Cara mana peraturan ini hendak dikuatkuasakan dengan berkesan terpulanglah kepada pihak kementerian berkenaan. Saya khuatir jika penguatkuasaan lemah, peraturan ini akan dipandang sepi oleh rakyat.

Kompaun hendaklah dikeluarkan serta merta kepada mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut. Jumlah kompaun yang dikenakan juga perlu dinaikkan pada satu angka yang boleh memberi keinsafan kepada pesalah.

Dalam pada itu cadangan yang dikemukakan itu sama dengan peraturan yang telah pun dikuatkuasakan di California, Amerika Syarikat. Pada 11 Mac tahu lalu, AFP melaporkan Senat California telah meluluskan undang-undang antirokok yang menaikkan umur minimum membeli rokok dan produk tembakau lain daripada 18 kepada 21 tahun selain menyelia penggunaan e-rokok.

Antara tujuan peraturan itu dikuatkuasakan adalah untuk mengelakkan belia terus berhadapan dengan masalah ketagihan rokok dan pada masa memastikan kesihatan seluruh rakyat California sentiasa terpelihara. Alangkah baiknya jika peraturan yang dikuatkuasakan di California itu dilaksanakan di negara kita.

KHAI


Sri Sendayan