Musuh politik beliau pasti tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri ketika melancarkan fasa kedua MRT laluan Sungai Buloh-Kajang pada 17 Julai lalu dan pendedahan itu mungkin disanggah sesetengah rakyat Malaysia yang sentiasa memuja kecanggihan teknologi Barat.

Sebagai penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi yang terletak tidak jauh dari New York, saya boleh mengesahkan kenyataan Perdana Menteri itu.

Masalah utama dihadapi pengguna sistem kereta api bawah tanah berusia 113 tahun itu adalah kelewatan tren yang meningkat dengan ketara daripada 28,000 kes sebulan pada 2012 kepada lebih 70,000 kes sebulan, baru-baru ini.

Kebolehpercayaan - sukatan purata jarak dilalui tren sebelum mengalami kerosakan - menurun kepada 190,000 kilometer (km) tahun ini daripada 320,000 km pada 2016.

Prestasi ketepatan masa semua laluan tren sangat membimbangkan dengan peratusan terendah adalah 33 peratus.

Kes tren tergendala, penumpang terperangkap dalam terowong bawah tanah dan kebakaran juga sering berlaku.

Antara punca masalah itu berlaku adalah tren uzur, sistem isyarat ketinggalan zaman dan bajet untuk kerja-kerja penyelenggaraan dipotong.

Untuk menyatakan bahawa MRT di Lembah Klang antara yang terbaik di dunia tidaklah keterlaluan, tetapi kita tidak boleh berasa terlalu selesa.

Bagaimanakah kita dapat memastikan perkhidmatan MRT tidak mengulangi kesilapan dibuat oleh pengendali New York City Subway?

Sebagai permulaan, orang ramai mesti mengelak membuang sampah merata-rata. Sudah sering terjadi, tren di New York terbakar kerana sampah sarap yang terdapat di atas landasan.

NOORSYAZWAN NAZRI

New Jersey, AS