Apa mesej mahu disampaikan apabila Nie Ching yang juga pemimpin DAP itu memberitahu berasa tenang kerana ‘perjuangan’ beliau untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mendapat sokongan bahkan yakin sijil itu akan diiktiraf?

Lebih penting apa yang mereka bincang dan putuskan ketika Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik masih lagi flip flop untuk memberi kata putus?

Kita semua tahu tentang wujudnya golongan ultra Cina yang mempengaruhi perkembangan sekolah Cina di negara ini sejak lebih 60 tahun lalu bahkan sebelum merdeka lagi mereka menghalang usaha menyatukan rakyat berbilang kaum melalui sistem pendidikan kebangsaan.

Dong Jiao Zong sentiasa mencurigakan dan tidak berpuas hati dengan dasar Kementerian Pendidikan. Hal itu disebutkan Sia Keng Yek dalam buku ilmiahnya bertajuk, SRJK (Cina) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan: Dilema dan Kontroversi (2005) keluaran Penerbit Universiti Malaya.

Itu baru sekolah yang berstatus masih aliran kebangsaan. UEC dari sistem pendidikan persendirian Cina, tentu lebih ekstrem.

Dong Jiao Zong kerap menolak matlamat perpaduan dan integrasi nasional dengan mengetepikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Bersikap ultra Cina mahukan kuasa autonomi pendidikan, mereka menggunakan pilihan raya sebagai satu bentuk tuntutan bahkan ugutan sama ada kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan blok pembangkang sebelum ini.

Desakan iktiraf UEC sudah tersenarai dalam Tuntutan 17 Perkara yang diumumkan pada 17 Ogos 1999, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November tahun yang sama.

Menjelang PRU pada tahun 1999 juga, Dong Jiao Zong mengemukakan deklarasinya kepada semua parti politik yang bakal bertanding antaranya menuntut UEC diiktiraf sebagai kelulusan akademik untuk masuk universiti awam dan maktab perguruan.

Dalam deklarasi 12 tuntutan itu, Dong Jiao Zong bahkan mendesak kerajaan mengiktiraf ijazah yang dianugerahkan oleh Universiti Nanyang dan universiti di Taiwan dan China dengan alasan mengelak ‘penghijrahan cendekiawan’.

Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu menganggap tuntutan yang dikemukakan 13 pertubuhan berdaftar Cina itu sebagai ekstremis dan boleh menjejaskan keharmonian pelbagai kaum.

Dalam hampir semua tuntutan oleh golongan ekstremis atau puak pelampau itu, MCA-Gerakan dalam BN serta DAP sepakat bersama walaupun parti roket tersebut di blok pembangkang ketika itu.

Jika tuntutan pengiktirafan UEC dilayan Menteri Pendidikan, cuba fikirkan apa lagi tuntutan perkauman lain ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) pun dipegang oleh pengerusi pertubuhan ultra India.

Bahkan, Buku Jingga yang menjadi manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya 2013 pun menyatakan akan mengiktiraf UEC walaupun hal itu tidak membantu usaha mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia sebaliknya membiakkan rasisme.

Walaupun kerajaan setiap kali umum bajet dan musim pilihan raya menyalurkan jutaan ringgit dana kepada pendidikan Cina tetapi mereka masih menganggap SRJK(C) serba kekurangan dan dikekang serba-serbi.

Padahal, Malaysia satu-satunya negara di dunia yang membenarkan sekolah aliran Cina beroperasi. Akhirnya, pendidikan Cina ‘kebangsaan’ bahkan pendidikan ultra Cina menerusi sekolah persendirian semakin berkembang pesat.

PascaPRU-14 pula, puak oportunis lagi rasis meneruskan lagi tuntutan mereka supaya UEC diiktiraf oleh kerajaan Malaysia yang baharu. Padahal, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong pun sudah mengingatkan murid Cina aliran kebangsaan akan terjejas jika UEC diiktiraf.

ARIF ATAN

Kampung Baru, Kuala Lumpur