Yang pertama, kenapa keadaan kipas angin yang terdapat di Platform 2 dan 3 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur kotor dan berhabuk teruk? Saya berharap supaya pihak pengurusan yang diamanahkan menjaganya melakukan pembersihan dengan segera, kadar habuk yang ada terlalu teruk dan boleh mendatangkan penyakit kepada orang ramai.

Suasana tersebut juga boleh memberi gambaran yang tidak baik kepada para pelancong yang menggunakan perkhidmatan ETS/Komuter.

Yang kedua, saya sering menggunakan Lebuhraya Duke dari arah Hulu Klang ke Jalan Kuching, selepas melintasi Jalan Sentul dan melintasi bengkel KTMB yang tidak digunakan lagi masa kini, terdapat beberapa set komuter lama, tapi di dalam kumpulan set lama tersebut terdapat satu set komuter baharu diletakkan bersama set-set lama.

Persoalannya, kenapa set komuter baharu tersebut tidak digunakan? Adakah set tersebut mengalami kerosakan yang amat teruk sehingga kos membaikinya terlalu besar?

Meninggalkan set komuter baharu itu terbiar, tidakkah merugikan pihak KTMB? Oleh itu saya berharap supaya pihak KTMB dan Kementerian Pengangkutan dapat memberikan penjelasan yang sebaik-baiknya. Apakah membiarkan set komuter baharu tersebut tanpa beroperasi lebih menguntungkan pihak KTMB?

Apakah sebahagian kecil kerosakan yang berlaku kepada set komuter yang baharu menyebabkan keseluruhan enam gerabak komuter tidak boleh beroperasi?

Yang ketiga, saya meminta pihak KTMB memantau juga keadaan kebersihan set-set ETS yang digunakan untuk laluan KL-Ipoh-KL, Gemas-Prai/Padang Besar, KL-Prai/Padang Besar.

Ini termasuk set-set komuter lama dan baharu kerana keadaan luar set-set ini terlalu kotor dan seolah-olah tidak terurus terutamanya set komuter yang digunakan untuk laluan Bukit Mertajam/Padang Rengas-Bukit Mertajam. Walaupun set komuter lama tapi kebersihan wajib diberikan keutamaan.

PENGGUNA ETS & KOMUTER,

Kuala Lumpur