Pegawai media Guan Eng, Rahmah Ghazali dalam status di Facebook pada 26 Jun lalu antara lain memberitahu, sebelum amalan menterjemahkan ke bahasa lain dibuat (semasa beliau di Pulau Pinang), ramai wartawan akan menelefon beliau untuk menjelaskan apa maksud ayat tertentu apabila kenyataan cuma dikeluarkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Jadi, dengan adanya terjemahan, sekali gus menyenangkan kerja wartawan (dan kami juga). Tambahan lagi, Kementerian Kewangan adalah kementerian yang paling sibuk setakat ini,” jelasnya.

Pengalaman saya sebagai pengamal media di sebuah portal berita sebelum ini mendapati memang ramai wartawan Cina sukar menterjemah kenyataan media yang diedar sama ada yang berbahasa Melayu atau Inggeris kepada bahasa Mandarin.

Alasan daripada pegawai media Guan Eng itu sendiri menunjukkan masalah penguasaan bahasa kebangsaan terutamanya dalam kalangan rakyat berketurunan Cina sudah mencapai satu tahap yang teruk.

Hal ini serius dan membuka kepada topik lebih kritikal tentang sejauh mana sistem pendidikan di negara ini terutama sekali di sekolah jenis kebangsaan (SJK) berkesan melahirkan warganegara yang menguasai bahasa kebangsaan.

Apa yang disampaikan oleh Rahmah itu secara tidak langsung mendedahkan ramai ‘rakyat Malaysia’ keturunan Tionghoa tidak menguasai dengan baik bahasa pengantar semua kaum di tanah air kita ini.

Tentu ramai rakyat keturunan Cina yang tidak faham bahasa Melayu ini tidak bersekolah di sekolah kebangsaan.

Timbul juga banyak tanda tanya tentang fungsi sekolah vernakular dan sekolah persendirian Cina selepas lebih 60 tahun kita merdeka.

Malaysia baharu melalui barisan Kabinet sedia ada perlu meneliti semula kewajaran perkembangan SJK termasuk menyeragamkan silibus dan soalan peperiksaan bagi kertas Pemahaman dan Penulisan bahasa Melayu dengan sekolah kebangsaan.

Apa istimewanya SJK diuji penguasaan dalam memahami dan mengarang bahasa Melayu dengan bentuk soalan yang lebih mudah berbanding sekolah kebangsaan?

Jika tidak mahu digelar warganegara kelas kedua, maka tidak wajar aras peperiksaan nasional di SJK dipermudahkan berbanding sekolah kebangsaan.

Jika tidak, sampai 100 tahun merdeka pun lambakan rakyat Malaysia yang tidak faham bahasa kebangsaan negara sendiri akan bertambah sehingga wartawan pun terpaksa mengasak menteri dan pegawai media untuk terjemahan dalam bahasa Cina.

ARIF ATAN

Kampung Baru, Kuala Lumpur