Sekiranya artis membawa budaya yang bertentangan dengan syariat Islam dan norma masyarakat Malaysia, maka budaya negatif tersebut sedikit sebanyak memberi implikasi tidak elok sehingga mudah ditiru peminat.

Artis perlu menampil budaya positif seperti mana yang pernah diperjuangkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Azmil Mustapha, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Rosyam Nor, Wardina Saffiyah dan ramai lagi.

Barisan artis ini menjadi duta yang membawa imej positif kepada kumpulan sasar iaitu peminat mereka khususnya golongan muda.

Nilai-nilai positif yang dibawa oleh artis tersebut akhirnya menambat nama mereka di bibir peminat malah turut popular dalam kalangan orang dewasa kerana membawa imej mendidik bukannya menyumbang kepada gejala tidak sihat.

Namun, masih terdapat segelintir artis yang menampilkan aksi-aksi amat bertentangan dengan Islam dan norma masyarakat Malaysia misalnya mengadakan persembahan melampau ketika umat Islam di seluruh dunia bermunajat dan berdoa bersama-sama jemaah haji yang melakukan wuquf di Arafah.

Saya amat berharap artis-artis yang mencari rezeki melalui dunia hiburan lebih sensitif perihal agama dan norma masyarakat malah tidak salah untuk bertanya kepada mereka yang lebih arif sebelum mengadakan persembahan.

Meminta maaf sememangnya tindakan terpuji kerana tiada manusia yang tidak melakukan dosa dan kesilapan.

Namun, adalah lebih tepat jika mengadakan perbincangan dan membuat rujukan terlebih dahulu dengan golongan agama, ilmuan serta budayawan tempatan agar segala tindakan kita tidak menimbulkan kontroversi.

Di Malaysia, kita mempunyai pakar rujuk dari peringkat ustaz sehingga kepada mufti.

Pada pemerhatian saya, kesedaran masyarakat terhadap tuntutan agama kian mendalam apabila semakin ramai ibu bapa tidak teragak-agak untuk menghantar anak-anak mendalami pembelajaran dan hafazan al-Quran.

Saya berharap golongan artis sebagai public figure turut sama berperanan membantu masyarakat menambah baik nilai-nilai Islam.

KORBAN JIWA RAGA

Kuala Lumpur