Ironinya, perkataan rasis lebih banyak digunakan golongan liberal terhadap sebarang ayat, perkataan, perbuatan dan terbaru soalan peperiksaan sekolah yang dianggap ‘menindas’ golongan minoriti, hak asasi, hak bersuara dan kebebasan mutlak.

Seorang wanita dikatakan seorang artis terkenal baru-baru ini menuduh soalan peperiksaan Pendidikan Moral Darjah Satu di sebuah sekolah kebangsaan di Petaling Jaya bersifat rasis dan mendorong kanak-kanak memprofil agama seseorang mengikut kaum.

Sudah tentu akhbar bahasa Inggeris dan portal berita liberal memainkan isu tersebut sama ada untuk sekali lagi memburukkan sekolah kebangsaan atau mungkin mahu menunjukkan golongan minoriti di negara ini sering ditindas.

Soalan itu cuma berkaitan pengetahuan umum kanak-kanak tersebut dan bukannya mahu mengajar anak kecil menjadi rasis.

Kanak-kanak tiada pandangan prejudis terhadap orang lain berdasarkan warna kulit, fisiologi muka, bangsa, agama mahupun jantina dan kebiasaannya anak-anak kecil tiada masalah bermain bersama-sama.

Ibu bapa dan orang dewasa yang mengajar mereka membentuk persepsi dan memilih kawan mengikut bangsa, agama, sosioekonomi serta label prejudis lain.

Jika soalan semudah itu tidak boleh dijawab, maknanya anak kecil itu kurang atau tidak dibenarkan bergaul dengan kanak-kanak daripada bangsa dan agama lain.

Bagaimanapun, pengetahuan umum itu boleh diajar di sekolah. Apabila menyebut pengetahuan umum, ini bukannya bermakna wujud diskriminasi terhadap minoriti tetapi sesuatu yang menjadi kebiasaan secara umum.

Contohnya seseorang dengan nama India ‘berkemungkinan besar’ merujuk kepada seorang beragama Hindu dan pada umur tujuh tahun tiada masalah jika sekadar faham orang India beragama Hindu.

Perlahan-lahan mereka boleh dididik bahawa ada juga orang India dan Cina beragama Kristian sementara Melayu di Malaysia hanya beragama Islam.

Soalan itu tidak rasis dan orang yang menulis soalan itu juga tidak rasis kerana tujuannya adalah jelas untuk menilai serta mendidik murid sekolah mengikut tahap pemahaman semasa mereka.

Mungkin orang yang melabel rasis itu yang takutkan bayang sendiri dan tidak berpijak di bumi nyata. Janganlah guna taktik Israel menjaja perkataan antisemitisme untuk menutup kelemahan dan kesalahan sendiri.

Jika ada masalah dan isu berbangkit, gunakan saluran yang disediakan untuk mencari penyelesaian sebelum ditularkan dalam media sosial.

GURU KECIL

Segambut, Kuala Lumpur