Bagi tempoh sama, jumlah kematian yang dikaitkan dengan leptospirosis pula memperlihatkan turun naik angka dengan 48 kes dicatatkan pada 2012, 71 kes (2013), 92 kes (2014), 78 kes (2015) dan menurun lagi kepada 52 kes pada tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan statistik 2015 menunjukkan penyakit leptospirosis banyak menyerang lelaki berusia antara 25 hingga 55 tahun. Hal itu dikatakan berkait rapat dengan jenis pekerjaan antaranya pekerja di sektor pertanian, pengurusan sisa, pengendali haiwan dan binatang peliharaan, anggota penyelamat, individu terlibat dalam aktiviti rekreasi serta mempunyai penyakit kronik dan luka.

Biarpun tikus sering dikaitkan dengan leptospirosis, namun penyakit itu juga berjangkit daripada haiwan mamalia lain yang dijangkiti bakteria leptospira. Manusia pula boleh dijangkiti apabila mereka terdedah kepada makanan, air atau tanah yang telah dicemari air kencing haiwan terjangkit (haiwan pembawa).

Selain dijangkiti melalui pengambilan makanan dan minuman tercemar, bakteria leptospira juga boleh mema­suki tubuh manusia melalui luka dan kudis di kulit serta lapisan mukosa seperti selaput mata dan lapisan mukosa mulut yang bersentuhan dengan air atau persekitaran tercemar.

Sementara itu, persekitaran kotor dikenal pasti punca utama peningkatan jumlah tikus dan kes leptospirosis. Sikap tidak bertanggungjawab orang ramai terutama penjaja dan peniaga terhadap kebersihan di kawasan persekitaran menggalakkan pertumbuhan tikus sekali gus menyumbang penularan leptospirosis.

Walaupun leptospirosis telah diwartakan sebagai penyakit di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada Disember 2010, namun penyakit itu masih gagal ditangani secara berkesan. Memandangkan masalah tikus dan leptospirosis amat serius, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan seperti berikut:

l Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengisytihar perang terhadap tikus dengan melaksanakan langkah berkesan bagi membersihkan ‘lubuk’ yang dipenuhi haiwan itu terutama di pusat pembuangan sampah.

l Kempen pendidikan berterusan oleh Jabatan Kesihatan dan PBT bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya air kencing tikus serta cara mencegah leptospirosis dengan mengekalkan persekitaran bersih.

l Semua pengendali dan pemilik kedai makan harus memastikan premis bersih dan bebas tikus dengan bantuan syarikat kawalan makhluk perosak. Sekiranya pengendali makanan tidak melakukannya, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka.

l Kebersihan persekitaran harus diberi keutamaan dalam operasi pengurusan sisa dan kawalan tikus untuk mencegah leptospirosis. Ini memerlukan kerja sama semua agensi berkaitan kerana melibatkan pelbagai aktiviti seperti pelupusan sampah, pengurusan sisa pepejal, saliran dan paip, pelesenan premis makanan, kebersihan kawasan rekreasi dan lain-lain.

l Mungkin terdapat asas untuk mempercayai bahawa penghapusan kucing liar melalui eutanasia telah menyebabkan ledakan populasi tikus dan perkara ini perlu difikirkan semula oleh PBT.

Apa pun usaha untuk mengurangkan populasi tikus dan mencegah penularan leptospirosis adalah melalui persekitaran bersih, pelupusan sampah yang betul dan penerapan nilai sivik baik dalam kalangan masyarakat. Justeru, komitmen pelbagai jabatan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat juga amat diperlukan untuk memastikan kebersihan alam sekitar.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)